Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR- Seramai 663 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah itu, 617 telah dikompaun manakala 44 individu direman dan dua dijamin polis.

“Peningkatan jumlah tangkapan dan kompaun itu menunjukkan pihak polis tidak lagi berkompromi dengan pesalah-pesalah ingkar PKP.

“Tindakan tegas akan diambil,” kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa sidang media yang disiarkan menerusi Facebook.

Antara kesalahan ingkar PKP adalah penjarakan fizikal (239), aktiviti di pusat hiburan (105), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (89), langgar syarat di kawasan PKPDB (20), tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (16), terlibat dengan aktiviti pelacuran (8), akktiviti perjudian (3), tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan (3), premis beroperasi tanpa lesen (1), menghalang penjawat awam menjalankan tugas (1).

Dalam pada itu, seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Benteng manakala tiga buah bot dan tiga buah kenderaan darat berjaya dirampas.

Di sidang media yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan, sebuah lagi kawasan di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, PKPD akan dilaksanakan di Felda Umas, Tawau bermula tengah malam ini sehingga 26 Oktober.

Ia akan melibatkan 800 buah rumah dengan 17,549 penduduk.

Disebabkan semua penduduk tidak dibenarkan keluar rumah serta penutupan laluan keluar masuk, bekalan makanan dan keperluan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang dikoordinasi oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.- MalaysiaGazette