Tidak perlu pembelian panik semasa PKPB kerana peraturan lebih longgar.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri menasihati rakyat supaya jangan membuat pembelian panik.

“Rakyat tidak harus panik. Kalau lihat, PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat) ini masih izinkan wakil keluarga keluar untuk urusan. Bekalan masih ada.

“Tidak ada isu berbangkit iaitu tidak ada bekalan makanan. Tak perlu nak simpan stok,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas masih berlaku pembelian panik dalam kalangan rakyat selepas kerajaan mengumumkan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah semalam.

Menurut Muhyiddin, rakyat tidak perlu gusar kerana PKPB sekarang tidak seperti sebelum ini kerana peraturan lebih longgar.

“Kepada wakil keluarga baik si abah atau emak, mereka boleh beli keperluan dalam dua tiga hari, selepas habis pergilah beli lagi kerana tidak akan berlaku masalah kekurangan barangan sebelum ini,” katanya lagi.

Mengenai kerisauan ibu bapa yang tidak berada di zon merah tetapi mahu sekolah anak-anak mereka juga ditutup, Muhyiddin berkata, PKPB diberi keutamaan kepada kawasan berisiko penularan Covid-19 dan ia diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Mengenai cadangan supaya sekolah semua ditutup dan pembelajaran diadakan secara dalam talian, beliau berkata, kerajaan mahu berbuat demikian namun masih kekurangan fasiliti.

Namun beliau sudah mengarahkan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin melihat perkara itu dan mencari alternatif supaya ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Cakap tak panik tapi ‘berebut’ beli stok makanan