Gambar hiasan

BACHOK – Polis menemui mayat seorang bayi berumur lapan bulan dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam dan dimasukkan ke dalam guni yang disorokkan di bawah meja di bahagian dapur, dipercayai dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri di Kampung Sungai Dua, Melawi di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Samsulmuddin Sulaiman berkata, mangsa Wan Mohamad Afiq Wan Roslan turut mengalami beberapa kesan lebam di bahagian badan dan paling teruk dileher kanan dan kiri mangsa.

“Berikutan dengan itu polis menahan bapa bayi tersebut yang bekerja kampung, berumur 40-an untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, hari ini.

Samsulmuddin berkata, manakala ibu bayi tersebut yang berusia 32, tahun yang turut mengalami lebam di bahagian badan dan masih dalam keadaan trauma, telah dihantar ke Pusat Kesihatan Bachok untuk rawatan lanjut.

Katanya, ibu bayi tersebut telah menelefon seorang sepupunya, sebelum lelaki tersebut pergi ke rumah mangsa dan kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok pada 11.30 am.

Beliau berkata, polis terpaksa memecah pintu rumah mangsa yang dikunci selepas panggilan tidak dijawab, sebelum menemui mayat mangsa dan ibunya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu untuk dibedah siasat.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya,

Sementara itu ibu saudara mangsa Masitah Mohd Radini, 46, ketika ditemui di tempat kejadian melahirkan rasa terkejut selepas menerima berita mengenainya pada pagi ini.

Beliau berkata, seminggu lepas beliau berkunjung ke rumah mangsa dan tiada apa-apa yang berlaku, cuma bapa mangsa mengadu demam kerana sakit bisul.

— BERNAMA