Gambar hiasan

KUMULATIF kes jangkitan Covid-19 di negara kita sehingga 12 Oktober ialah 16,220 kes dengan kematian yang direkodkan sebanyak 159. Penularan jangkitan virus ini di dalam negara kembali membimbangkan selepas ia mula mencatat angka 3 digit sehari dengan beberapa negeri iaitu Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah diumumkan sebagai zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sabah diketahui umum menjadi ‘penyumbang’ tertinggi jangkitan dan senario ini pastinya akan menambahkan lagi ketakutan penduduk di sana terhadap risiko dijangkiti Covid-19. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19 di Sabah kini memasuki fasa kritikal.

Ketakutan dan rasa cemas masyarakat terhadap pandemik Covid-19 ini ada asasnya, pada pemerhatian penulis pertamanya kerana virus ini merupakan virus baharu yang tidak pernah dikesan sebelum ini menjadikan ‘musuh halimunan’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar amat ditakuti. Keduanya kerana masih belum ada vaksin yang boleh ‘mematikan’ virus ini menjadikan saban hari ia terus merebak ke seluruh dunia dengan pantas menjangkiti manusia. Punca ketiga yang penulis merasakan adalah sebab paling kuat mengapa Covid-19 amat ditakuti adalah kerana ia boleh membawa maut!.

Bagusnya apabila wujud ketakutan pada Covid-19 adalah masyarakat akan berhati-hati dari dijangkiti dengan mematuhi segala arahan dan panduan yang diberikan kerajaan dan melaksanakan segala angkah pencegahan kendiri yang sepatutnya. Tetapi pada masa yang sama, penularan virus ini turut mencetuskan merebaknya pula stigma dalam kalangan masyarakat terhadap individu, organisasi mahupun kawasan yang terkait secara langsung dengan terma ‘positif Covid-19’.

Inilah musuh kedua yang kita perlu kita lawan secara bersama kerana kewujudkan stigma seperti ini amat berbahaya dan ia turut diakui oleh Ketua Pengarah Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom. Tegas beliau bahawa stigma itu adalah musuh yang lebih berbahaya dari virus Covid-19 itu sendiri kerana dari stigma itu sendiri akan mencetuskan suasana yang lebih parah.

Stigma yang terlampau tidak menjadikan keadaan menjadi lebih baik kerana kita boleh mengambil contoh mudah bagaimana masyarakat melihat dan menilai individu yang mendapatkan rawatan berkaitan kesihatan mental dikatakan sebagai seorang yang gila dan perlu dijauhi. Atas sebab itulah, isu kesihatan mental masih menjadi sesuatu yang tabu dalam kalangan masyarakat kita sehingga ke hari ini. Individu yang mengalami masalah kesihatan mental  tidak berani tampil ke hadapan untuk berkongsi masalah mereka, bekas pesakit pula tidak mahu bercerita kisah ‘perjuangan’ mereka untuk sembuh, puncanya kerana stigma yang sudah sebati dalam masyarakat terhadap pesakit mental telah ‘membunuh’ mereka lebih awal.

Atas sebab itu, stigma mengenai Covid-19 perlu dihapuskan, paling tidak pun dikawal atau diminimumkan dalam kalangan masyarakat. Bayangkan dek kerana takutkan pandangan dan penerimaan negatif serta disisihkan masyarakat sekiranya disahkan positif Covid-19 atau terkait dengan mereka yang positif, individu yang bergejala ini memilih untuk mendiamkan diri dan  tidak mahu membuat saringan. Sekiranya mereka adalah pembawa virus ini, akibat tidak dikuarantin dan menjalani rawatan yang sepatutnya, mereka terus menyebarkan Covid-19 tanpa disedari secara meluas malah tanpa dapat dikesan untuk dihentikan.

Stigma kepada petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan juga patut dibuang jauh kerana merekalah wira yang sepatutnya masyarakat dekati sebagai satu bentuk memberi sokongan moral, bukan menjauhkan dan menyisihkan mereka. Selain itu berdasarkan pemerhatian penulis turut berlaku jika terdapatnya satu lokaliti dikesan virus ini, kerana stigma habis dipukul rata semua yang berada lokaliti tersebut ‘membawa penyakit’ sampaikan dilarang menjejakkan kaki di mana-mana premis seperti pusat asuhan, sekolah, masjid dan lain-lain lagi. Stigma ini juga sebenarnya memberi tekanan emosi kepada pihak yang terkesan dan boleh menjejaskan kesihatan mental individu berkenaan secara tidak sedar.

Justeru itu, cara kita berkomunikasi mengenai virus ini perlu diperbetulkan supaya segala maklumat yang kita kongsikan mencetuskan masyarakat untuk mengambil tindakan berkesan antara satu sama lain bagi memerangi penyakit ini dan mengelakkan timbulnya ketakutan dan stigma. Kita mulakan dahulu dengan berkongsikan fakta yang tepat dan relevan kepada masyarakat dengan memanfaatkan pelbagai medium komunikasi terkini terutamanya media sosial. Stigma kebiasaannya bermula dari kurangnya maklumat mengenai sesuatu masalah sehinggakan pelbagai maklumat tidak sahih dicampur aduk bersama dan kemudiannya disebarkan.

Pada masa yang sama, para pemimpin ataupun tokoh masyarakat turut memainkan peranan bagi menjernihkan keadaan atau salah-faham masyarakat mengenai virus ini terutamanya di lokaliti masing-masing dengan memberikan penjelasan dalam konteks yang lebih mudah difahami dan selesa untuk diterima.

Dalam saat yang kritikal ini, penulis menyeru agar masyarakat perlu terus kekal bersama atas dasar kemanusian, prihatin, berfikiran positif dan utuh bersoladiriti melawan COVID-19. Jangan biarkan stigma merobohkan jambatan yang sedia wujud serta membina pula tembok pemisah baharu yang tiada faedahnya.

OLEH: Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis