Petugas hospital, Dr. Fadhli Suhaimi berpakaian lengkap Powered Air-Purifying Respirator (PAPR) dilihat tekun menjalankan rawatan ke atas pesakit Covid-19 yang berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR- Sebanyak 660 kes baharu positif Covid-19 dengan empat kematian direkodkan hari ini.

Sabah terus mencatatkan jumlah kes harian tertinggi 429 kes (65 peratus) diikuti Kedah sebanyak 113 kes (17.1 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 113 kes di Kedah, 109 adalah daripada Kluster Tembok yang melibatkan Penjara Alor Setar, Penjara Pokok Sena dan Penjara Sungai Petani.

Manakala Pulau Pinang mencatatkan 17 kes daripada Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai.

Negeri-negeri Lembah Klang pula merangkumi 11.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, iaitu Selangor mencatat 68 kes, Kuala Lumpur (7 kes) dan Putrajaya (1 kes).

Selain itu, Labuan mencatatkan tujuh kes baharu manakala Johor, Sarawak dan Perak masing-masing mencatatkan tiga kes.

Melaka mencatatkan dua kes dan Negeri Sembilan satu kes.

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat satu kluster baharu telah dikenal pasti yang melibatkan daerah Hulu Langat, Petaling, Klang dan Gombak di negeri Selangor, Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian di negeri Johor.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13805) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif COVID-19,” katanya semasa sidang media hari ini.

Sehingga 14 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 23 individu telah  disaring di mana 17 kes dikesan positif Covid-19, empat individu negatif dan dua masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, KKM mengumumkan terdapat 233 kes yang telah pulih manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 5,768 kes.- MalaysiaGazette