Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan 'Tragedi 13 Oktober' di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR –  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) membuat laporan polis ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menimbulkan kegusaran semua pihak berikutan dakwaan memiliki 120 Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Ketua Penerangan Armada,  Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, tindakan Anwar yang juga Presiden PKR itu bukan sahaja menyebabkan masyarakat dibelenggu keresahan malah turut memberi kesan kepada pasaran saham negara ini.

Malah jelas beliau, Anwar juga tidak menjawab soalan mengenai senarai Ahli Parlimen yang dimiliki sebaliknya hanya fokus kepada jawapan yang tidak relevan pada sidang media semalam.

“Tindakan Anwar ini jelas membuktikan beliau tidak kisah dan peduli dengan nasib rakyat yang sedang berdepan pandemic Covid-19.

“Sebaliknya, yang beliau fokus untuk mendapat kuasa dan menjadi perdana menteri sehingga sanggup meremeh dan mempersendakan Institusi Diraja,” katanya.

Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan ‘Tragedi 13 Oktober’ di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 14 OKTOBER 2020.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Ashraf Mustaqim menambah, apa yang mengecewakan Anwar masih gagal membuktikan memiliki majoriti Ahli Parlimen namun berulang-kali mengeluarkan kenyataan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tumbang.

Jelas beliau, ini menunjukkan sikap Anwar yang lebih sudu daripada kuah yang seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Agong dan istana yang lebih berhak untuk menentukan kedudukan sebuah kerajaa, Kalau benar pun Anwar memiliki jumlah majoriti Ahli Parlimen, Agong akan menggunakan kebijaksanaa baginda mengikut lunas perlembagaan,” katanya yang turut memberitahu semua Bahagian Armada di seluruh negara akan membuat laporan polis ke Anwar. – MalaysiaGazette