Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR –  Sebilangan besar isi rumah mampu bertahan dengan kejutan melampau pasaran ekuiti seperti yang dialami semasa Krisis Kewangan Asia kerana pelaburan dibiayai oleh lebihan rizab tunai dan bukan pinjaman, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank Pusat berkata, perkembangan ketara pada separuh pertama 2020 adalah peningkatan penyertaan runcit dalam pasaran ekuiti yang menyaksikan pelabur runcit membeli saham syarikat tersenarai bernilai RM113.1 bilion..

“Pemantauan kami menunjukkan peningkatan penyertaan runcit tidak dibiayai pinjaman.

“Pinjaman yang dikeluarkan dan tertunggak bagi pembelian saham, termasuk pembiayaan margin, masih kekal rendah dan stabil semasa tempoh ini,” kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan – Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Menurut bank pusat pinjaman itu terus menyumbang kepada sebahagian kecil jumlah hutang isi rumah  (0.5 peratus) dan berian pinjaman bank kepada isi rumah (0.6 peratus).

Tidak ada perubahan ketara dalam profil peminjam isi rumah dengan kemudahan margin saham, kerana kebanyakannya kekal dalam segmen pendapatan tinggi dengan penampan kewangan yang besar.

BNM berkata pandangan anekdot menunjukkan sesetengah isi rumah menggunakan lebihan rizab tunai daripada bantuan dan simpanan untuk melabur dalam ekuiti.

Ini, katanya, boleh meningkatkan risiko kepada isi rumah menerusi impak ke atas kapasiti membayar faedah hutang dan kesan harta sekiranya nilai ekuiti turun dengan ketara apabila isi rumah perlu menyambung semula pembayaran pinjaman mereka.

“Seperti yang dinyatakan di atas, risiko sedemikian dinilai rendah memandangkan pelabur runcit biasanya mempunyai penampan kewangan yang besar,” kata bank pusat.

Jumlah pegangan ekuiti oleh isi rumah sebagai sebahagian daripada Aset Kewangan Cair (LFA) juga sebahagian besarnya kekal  tidak berubah.  – MalaysiaGazette