Finas menutup premisnya di Hulu Klang bagi proses sanitasi.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperkenalkan Insentif Saringan Prihatin bagi membolehkan syarikat produksi yang berdaftar dibawahnya membuat tuntutan kos saringan saringan ujian Covid-19 ke atas pelakon dan kru yang menjalani penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid berkata, inisiatif ini bagi menggalakkan syarikat produksi melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap pelakon dan kru demi faktor keselamatan serta kesihatan.

“Tujuan utama inisiatif ini dilaksanakan adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kru-kru produksi dan barisan artis sentiasa terjamin di loksi penggambaran dan dapat mengekang penularan wabak Covid-19 dari terus berleluasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Insentif Saringan Prihatin ini ujarnya, tertakluk kepada beberapa perkara termasuklah syarikat produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran dalam tempoh PKPB iaitu dari 14 hingga 27 Oktober sahaja.

Selain itu, kos saringan ‘swab test’ Covid-19 hendaklah terlebih dahulu ditanggung oleh syarikat produksi dan kemudian membuat tuntutan kepada Finas.

Tambah Zakaria, kadar maksimum tuntutan adalah RM5,000 bagi setiap syarikat.

“Ujian saringan hanya hanya boleh dilakukan melalui pakej khas FINAS di klinik panel berdaftar iaitu Megaklinik Zahran di Bandar Baru Bangi.

“Pihak Megaklinik Zahran juga boleh menjalankan ujian saringan di lokasi penggambaran yang dipersetujui,” katanya lagi.-MalaysiaGazette