Petugas hospital, Nur Syahirah Mojd Zailan melakukan kerja-kerja menguji sampel cecair saringan orang awam bagi mengesan kes-kes positif Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kapasiti maksimum makmal Covid-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.

Pencapaian itu adalah hasil kesepaduan kerjasama semua 61 makmal di bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Awam & Swasta dan makmal swasta.

Sebanyak 13 makmal Universiti Awam (UA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan makmal swasta kini dalam proses menggembeling sumber ke tahap maksimum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat semalam, sebanyak 42 peratus kapasiti makmal negara digunakan dan peratusan ini dijangka meningkat untuk menguji lebih banyak sampel, terutama dari zon merah, zon kuning serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat oleh KKM.

Menurutnya, langkah-langkah ini merupakan kesiapsiagaan yang diambil oleh KKM daripada pelbagai aspek kesihatan dalam mendepani wabak Covid-19.

Dr. Adham Baba

”Di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kapasiti 2,500 ujian sehari sudah beroperasi.

”Manakala baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Malaysia (TUDM) ke Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini.

Selain itu makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian RT-PCR dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

Di lapangan pula, bagi membantu pengesanan awal kes positif Covid-19 lebih banyak, ujian RTK-Ag telah digunakan.

”KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette