Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 6.6 peratus pada Ogos 2020 kepada 44,543 tan metrik berbanding 41,801 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Manakala berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, ianya mencatatkan penurunan sebanyak 22.7 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 42,658 tan metrik pada Ogos 2020, menurun sebanyak 6.0 peratus berbanding 45,386 tan metrik pada Julai 2020.

Destinasi utama eksport getah asli adalah China iaitu 46.8 peratus daripada jumlah eksport pada Ogos 2020 diikuti Jerman (10.1%), Finland (4.3%), Iran (3.0%) dan Turki (2.4%).

Sarung tangan getah merupakan barangan eksport utama dengan nilai eksport pada Ogos 2020 sebanyak RM3 billion.

Bagaimanapun, katanya, nilai eksport ini menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding RM3.2 billion yang dicatatkan pada Julai 2020.

”Stok getah asli menunjukkan trend menurun sejak Mei 2020. Stok terus menurun pada bulan Ogos 2020 sebanyak 0.7 peratus kepada 233,537 tan metrik berbanding 235,156 tan metrik pada Julai 2020.

“Harga purata bagi Lateks Pekat merekodkan peningkatan kepada 467.71 sen sekilogram berbanding Julai 2020 (467.20 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut meningkat kepada 538.68 sen sekilogram berbanding 497.86 sen sekilogram bagi tempoh yang sama”, katanya lagi.

Menurutnya, penggunaan getah asli di peringkat domestik pada Ogos 2020 ialah 46,745 tan metrik, menurun sebanyak 0.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Industri pembuatan sarung tangan getah merupakan industri utama dengan penggunaan sebanyak 35,542 tan metrik atau 76.0 peratus daripada jumlah keseluruhan penggunaan domestik. – MalaysiaGazette