Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Terdapat 21 kluster aktif, termasuk tiga kluster baharu mencatatkan pertambahan 149 kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan kira-kira 24 peratus daripada keseluruhan 629 kes baharu yang dicatatkan hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah merekodkan 39 kes baharu menjadikan keseluruhan 156 kes bagi kluster itu.

Katanya, Kluster Ramai-Ramai mula dikesan pada 3 Oktober lalu membabitkan seorang pemandu bas dan setakat ini, sebanyak 681 kontak rapat sudah dikenal pasti dan disaring.

Selain itu, katanya, Kluster Penjara Reman di Timur Laut, Pulau Pinang yang membabitkan banduan merekodkan 27 kes baharu, menjadikan keseluruhan 217 kes bagi kluster berkenaan.

Kluster Kasih di Lahad Datu, Sabah yang mula dikesan ketika saringan petugas kesihatan pada 27 September lalu, mencatatkan pertambahan 11 kes baharu, menjadikan keseluruhan 45 kes. – MalaysiaGazette