KUALA LUMPUR – Mutasi virus Covid-19 jenis D614G yang dikesan pada sampel Kluster Benteng Lahad Datu (LD) Sabah mempunyai jumlah virus itu tinggi dalam tubuh pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah virus yang tinggi itu menyebabkan ia lebih cepat menjangkiti individu lain, sekali gus menyumbang pada lonjakan kes setiap hari di Sabah.

“Kita mendapati nilai kitaran ambang (CT Value) di Sabah dan Kedah rendah dan ia mungkin disebabkan mutasi virus ini, yang menyebabkan jangkitan lebih cepat dalam kalangan kontak rapat yang terdedah pada kes positif.

“CT Value pesakit yang rendah bererti jumlah virus dalam tubuh pesakit itu tinggi. Nilai rendah juga bererti jangkitan masih baharu, sekali gus kadar kebolehjangkitan juga tinggi.

“Jika CT Value tinggi, seperti 40, bermakna tempoh jangkitan bagi pesakit itu hampir tamat dan kadar kebolehjangkitannya juga berkurangan,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19, hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, walaupun 70 hingga 80 peratus pesakit COVID-19 di Sabah adalah pada tahap satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan), namun, CT Value mereka adalah rendah, sekaligus kebolehjangkitannya tinggi.

“Sebab itu kita asingkan pesakit di beberapa pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah selama 14 hari kerana kebolehjangkitan akan berkurangan selepas 10 hari,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 25 peratus kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dikesan positif wabak itu pada saringan hari ke-13, walaupun mulanya negatif ketika saringan hari pertama.

Sehubungan itu, beliau menegaskan individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat ketika menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

“Setakat ini, sebanyak 75 peratus kontak rapat kepada pesakit COVID-19, dikesan positif pada hari pertama kuarantin, manakala 25 peratus pula didapati positif pada hari ke-13.

“Disebabkan itu kita kenakan tempoh kuarantin selama 14 hari dan mereka perlu mematuhinya untuk memastikan 25 peratus ini tidak terlepas.

“Mereka yang menjadi kontak rapat perlu faham, jika ujian pertama anda negatif, kemungkinan untuk positif pada hari ke-13 adalah 25 peratus. Jadi, kontak rapat wajib dikuarantin 14 hari,” katanya.

Beliau menjelaskan, kontak rapat ialah individu yang terdedah pada kes positif Covid-19 pada jarak kurang satu meter atau bersentuhan tanpa perlindungan, dan akan dikenakan HSO, memakai gelang serta perlu memantau tahap kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera selama 14 hari. – MalaysiaGazette