Kenderaan yang membawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang keluar selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melalui pintu 2 di Istana Negara, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 13 OKTOBER 2020.
JUJURNYA penulis berasa cukup bimbang melihat situasi politik di negara pada ketika
ini. Tatkala rakyat terus diancam dengan serangan gelombang ketiga wabak Covid-
19, ahli politik pula sibuk mencari ruang untuk memperbaiki kedudukan masing-
masing. Akibatnya kedudukan kerajaan sekarang dilihat sangat rapuh bagai telur di
hujung tanduk. Ini hakikat yang perlu diakui oleh semua pihak kerana apa yang
sedang berlaku bukan lagi rahsia dan segala plot drama dan konspirasi politik yang
direka mula menjelmakan diri dengan sendirinya satu per satu.
Dalam hal ini apa yang paling dikesali ialah ketidakstabilan kedudukan kerajaan dan
senario politik mula memberikan kesan langsung kepada proses pentadbiran
kerajaan, pembangunan negara, pemulihan ekonomi dan juga kerja-kerja menangani
serangan wabak Covid-19. Sesungguhnya, dalam kedaaan yang cukup gawat dan
kritikal ini kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil yang dianggotoi
oleh ahli politik dan pemimpin yang berjiwa rakyat. Hanya kerajaan seperti itu yang
mampu meletakkan kepentingan rakyat dan negara pada kedudukan yang teratas
sekali gus mampu mengeluarkan kita dari krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang
melanda.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang pada mulanya memberikan seribu satu
harapan mula goyah apabila berlaku perseteruan politik dan pergolakan dalaman
yang cukup dasyat. Parti UMNO sendiri mula meletakkan syarat baharu untuk
meneruskan kerjasama dan sokongan yang terbina sejak Mac lalu. Ini sekali gus
meletakkan kerajaan PN dalam keadaan yang cukup getir dan ditambah pula dengan
usaha Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki sokongan
majoriti untuk membentuk kerajaan yang baharu. Maka kita kembali berada dalam
kemelut politik sama seperti ketika bulan Februari lepas yang sinonim dengan
“Langkah Sheraton” sehingga terbentuknya kerajaan yang baharu.
Ironinya persoalan yang berlegar di kotak pemikiran rakyat sekarang ialah, andai
Anwar berjaya membentuk kerajaan sekalipun sejauhmana kerajaan itu akan
bertahan dengan mengambilkira sokongan Ahli Parlimen yang dilihat sentiasa
berubah dari semasa ke semasa. Maka tiada jaminan mana-mana kerajaanpun
mampu bertahan jika dibentuk dalam keadaan yang rapuh dan tidak kuat serta
stabil.
Dalam pada itu majoriti rakyat juga pastinya bersetuju dengan pandangan bahawa
ini juga bukan masa yang sesuai untuk kita membubar Parlimen dan mengadakan
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun PRU adalah pilihan yang terbaik yang
akan membuka ruang kepada rakyat untuk memberikan mandat yang kuat kepada
mana-mana parti yang difikirkan layak dan boleh mengemudi bahtera yang bernama
Malaysia ini. Hal ini kerana kedudukan ekonomi dan ancaman wabak Covid-19 tidak
sama sekali menggalakkan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan PRU15.
Maka sekarang timbul cadangan penubuhan kerajaan perpaduan atau Unity
Government. Ideanya adalah melantik seorang Perdana Menteri interim dari
kalangan tokoh yang disegani dan berpengalaman dan diberi kuasa untuk memilih
beberapa orang Ahli Parlimen yang layak dan ada kemampuan tanpa mengira parti
untuk membentuk Kabinet. Ini termasuklah melantik individu bukan ahli politik yang
terdiri dari kalangan pakar dan ahli profesional untuk memulihkan negara. Manakala
PRU15 pula boleh diadakan selepas isu ekonomi dan Covid-19 reda kelak. Ironinya
cadangan kerajaan perpaduan ini bukanlah perkara baru kerana bekas Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengemukakan cadangan pembentukan
Unity Government ketika dilantik sebagai Perdana Menteri interim pada Februari lalu
namun malangnya pada ketika ramai yang tidak memahami konsep dan kelebihan
Unity Government ini. Ini ditambah pula dengan bangkangan dari kalangan ahli
politik itu sendiri yang dilihat tidak bersetuju kerana masing-masing tidak berjiwa
besar untuk mengutamakan rakyat dan negara pada ketika itu sebaliknya lebih
mementingkan kedudukan diri dan parti masing-masing.
Jadi penulis percaya dalam keadaan kita mahu mengelak PRU15, penubuhan
kerajaan perpaduan dilihat idea terbaik yang mampu menyelamatkan rakyat dan
negara dengan pembentukan sebuah kerajaan sementara yang stabil dan kuat yang
berkepentingan rakyat dan negara. Kita berharap ahli politik dan para penyokong
akan menerima cadangan kerajaan perpaduan ini dengan hati yang terbuka dan
segera memahami kelebihan konsep kerajaan perpaduan serta keperluan mendesak
untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil demi kelangsungan hidup
rakyat kita.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa