Jalan raya kelihatan sibuk di Bandar Utama ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette One Utama, Bandar Utama, Kuala Lumpur. foto ISKANDAR HAMIDI, 05 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Selepas enam hari ditutup, Kompleks membeli-belah One Utama, Bandar Utama akan beroperasi semula mulai esok.

Kompleks membeli-belah itu ditutup pada 11 Oktober lalu bagi tujuan saringan Covid-19 dan aktiviti pembasmian kuman.

“Sehingga 15 Oktober 2020 seramai 6,000 termasuk pekerja, penyewa dan petugas serta 110 pengunjung di kompleks One Utama Mall telah disaring oleh KKM.

“Mereka yang didapati positif telah dihantar ke hospital untuk rawatan, kontak tidak bergejala pula telah dikuarantin selama 14 hari manakala yang bergejala telah diarahkan untuk pemeriksaan lanjut di klinik kesihatan berhampiran,”kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media menerusi Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah berkuatkuasa 18 Oktober sehingga 31 Oktober 2020.

PKPB itu akan melibatkan 1,150 penduduk dan 151 buah rumah di kawasan tersebut.

Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya:

• Tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas.

• Hanya dua orang saja wakil yang dibenarkan bagi sebuah rumah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan.

• Penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.

• Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan lima waktu dan solat fardhu dengan jumlah enam orang jemaah termasuk muazzin dan imam.

• Rumah ibadat bukan Islam turut tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette