Sebanyak sembilan taman asuhan kanak-kanak (Taska) tambahan yang sebelum ini dijadikan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas barisan hadapan kini dibuka semula di negeri Selangor.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan taman asuhan kanak-kanak (Taska) tambahan yang sebelum ini dijadikan sebagai pusat jagaan anak-anak petugas barisan hadapan kini dibuka semula di negeri Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari apabila memberitahu, pembukaan semula taska itu adalah susulan pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, ia meliputi lokasi di Hospital Sungai Buloh, Hospital Banting, Hospital Selayang, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Turut dibuka katanya, taska di Hospital Shah Alam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bangunan SUK Selangor dan Bangunan Darul Ehsan turut dibuka.

“Semua taska (di hospital dan JKNS) terbuka untuk kakitangan perubatan sahaja, manakala taska di Bangunan SUK dan Bangunan Darul Ehsan boleh dimanfaatkan semua petugas hadapan, termasuk anak-anak anggota polis serta tentera.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan petugas hadapan yang berkorban nyawa demi melandaikan keluk wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada Jun lalu, kerajaan Selangor memperkenalkan Insentif Penjagaan Anak-Anak Barisan Hadapan Covid-19 yang memperuntuk kadar bantuan bernilai RM150 untuk seorang anak bagi tempoh dua bulan iaitu Mac dan April.

PKPB dikuat kuasa di seluruh Selangor bermula kelmarin hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu. – MalaysiaGazette