Ikhsan Fandi.

KUALA LUMPUR Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi terus menyinar dalam saingan divisyen kedua Liga Norway selepas terus menemui rentak jaringan selepas membantu kelab baharunya, FK Jerv meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Ikhsan menjaringkan gol pada perlawanan menentang Ullesaker/Kisa  yang menyaksikan Jerv meraih kemenangan dengan keputusan 2-1, kelmarin.

Adik Irfan Fandi itu menjaringkan gol pada minit ke-48, membuat satu tandukan setelah menerima hantaran dari Michael Baidoo di hadapan 600 penyokong yang hadir pada perlawanan tersebut.

Sebelum ini, penyerang berusia 21 tahun itu turut menemui sentuhan pada perlawanan menentang bekas kelabnya, Raufoss IL minggu lalu yang menyaksikan Jerv meraih kemenangan 4-2.

Peminat Jerv teruja dengan kehadiran Ikhsan apabila penyokong yang hadir pada perlawanan menentang Ullesaker membuat chanting dengan menyebut nama anak legenda Singapura, Fandi Ahmad itu.

Pada perlawanan OBOS-ligaen yang berlangsung pada Sabtu ini, Jerv akan bertandang ke tempat lawan bagi bertemu Kongsvinger.

Ketika ini, FK Jerv menduduki tangga ke-7 dengan kutipan 27 mata selepas menghadapi 19 perlawanan setakat ini. – MalaysiaGazette