Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Penularan Covid-19 dalam negara terus menunjukkan peningkatan.

Hari ini ia merekodkan 869 kes hari ini iaitu jumlah paling tinggi direkodkan setakat ini dan menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 9,627 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 6,886 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 451 kes atau 51.9 peratus manakala negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 20.3 peratus daripada jumlah keseluruhan
kes.

Kata beliau,  Selangor mencatat 159 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 15 kes dan Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah dua kes di mana kesemua negeri-negeri ini adalah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Secara keseluruhan, sebanyak 224 kes atau 25.8 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai dan kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

“Daripada 869 kes penularan di dalam negara, 745 kes adalah warganegara Malaysia dan 124 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 441 kes,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat sebanyak 91 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jelas beliau, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat empat lagi kes kematian.

Justeru katanya, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara iniadalah sebanyak 180 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sementara itu terdapat 302 kes yang telah pulih Covid-19 pada hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 12,561 kes atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette