Ejen Ali adalah antara animasi tempatan yang diwakili Primeworks Distribution boleh didapati di Amazon Prime dan boleh dilayari di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua filem animasi tempatan yang cukup terkenal iaitu Ejen Ali dan Alif & Sofia diumumkan sebagai pemenang pada Asian Academy Creative Awards (AACA), Disember depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar menyifatkan kejayaan dua produk terbitan Primeworks Studios (PWS) berkenaan sebagai luar biasa kerana mewakili negara untuk bersaing dengan pelbagai kandungan antarabangsa.

“Ini adalah pencapaian luar biasa bagi kami. Ditambah peluang mewakili Malaysia untuk bersaing di AACA dan disenaraikan dalam kalangan kandungan terbaik dari seluruh Asia. Apatah lagi dalam tahun yang mencabar ini, lebih-lebih lagi dengan apa yang yang berlaku sekarang akibat wabak Covid-19. Ia benar-benar memberi kesan kepada industri media,” kata menerusi dalam kenyataan.

Ejen Ali yang meraih kutipan lebih RM30 juta, terpilih mewakili negara dalam kategori Arahan Terbaik (Fiksyen).

Manakala Alif & Sofia yang disiarkan di platform YouTube, bakal bersaing dalam kategori Program Prasekolah Terbaik.

Untuk rekod, AACA adalah anugerah tahunan berprestij yang meraikan karya dari Australia, New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Acara kemuncak AACA 2020 dijadualkan berlangsung dua hari mulai 3 Disember depan.-MalaysiaGazette