Pesakit-pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi sebuah hospital di Brazil. foto Agensi

NEW YORK – Kes-kes jangkitan koronavirus global meningkat lebih daripada 400,000 untuk pertama kalinya pada hari Jumaat, peningkatan satu hari tertinggi ketika sebahagian besar Eropah membuat sekatan pergerakan untuk mengekang wabak tersebut.

Eropah, yang berjaya mengatasi lonjakan jangkitan pertama, telah muncul sebagai pusat koronavirus baharu dalam beberapa minggu ini apabila merekodkan 140,000 kes sehari dalam seminggu kebelakangan ini.

Eropah melaporkan lebih banyak kes harian berbanding gabungan kes di India, Brazil dan Amerika Syarikat.

Dari setiap 100 jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia, 34 adalah dari negara-negara Eropah, menurut analisis Reuters. Wilayah ini kini melaporkan satu juta jangkitan baru setiap sembilan hari dan telah melaporkan lebih dari 6,3 juta kes sejak wabak itu bermula.

Negara-negara utama Eropah – Britain, Perancis, Rusia, Belanda dan Sepanyol – menyumbang kira-kira separuh daripada kes baharu Eropah dalam seminggu hingga 18 Oktober, menurut laporan Reuters.

Perancis melaporkan purata tujuh hari kes baharu tertinggi di Eropah dengan 19,425 jangkitan setiap hari diikuti oleh Britain, Rusia, Sepanyol dan Belanda merupakan negara Eropah yang paling teruk terjejas.

Beberapa negara Eropah menutup sekolah, membatalkan pembedahan elektif dan memasukkan pelajar perubatan untuk menghadapi gelombang Covid-19.

Rusia telah melaksanakan pembelajaran atas talian kepada semua pelajar dan Ireland Utara menutup sekolah selama dua minggu dan restoran untuk empat minggu.

Di Sepanyol, pihak berkuasa di Catalonia memerintahkan bar dan restoran ditutup selama 15 hari dan mengehadkan bilangan orang yang dibenarkan di kedai.

Republik Czech juga telah melaksanakan pembelajaran atas talian dan merancang untuk memanggil ribuan pelajar perubatan.
Hospital juga telah menangguhkan prosedur perubatan yang tidak mendesak untuk memastikan katil mencukupi.

Pegawai kesihatan Poland telah memberi amaran bahawa negara itu berada di ambang bencana kerana mencatatkan 6,526 jangkitan koronavirus baharu dan 116 kematian dilaporkan minggu ini.

Poland meningkatkan latihan untuk jururawat dan mempertimbangkan untuk mewujudkan hospital tentera.

Amerika Latin adalah wilayah yang paling teruk terjejas dengan sekitar 27% daripada jumlah kes Covid-19 diikuti oleh Asia, Amerika Utara dan Eropah, menurut analisis Reuters.

India melaporkan sedikit kes bulan ini berbanding bulan September, dengan 69,000 kes sehari. Angka telah menurun lebih daripada 20,400 dalam tiga minggu kebelakangan ini,  turun 22% daripada kemuncaknya sebelum ini.

India melaporkan 55,342 kes pada 13 Oktober, kenaikan harian terendah sejak 18 Ogos.

Di Amerika Syarikat, yang merekodkan jumlah kes dan kematian terbesar di dunia menyaksikan jangkitan baharu meningkat dengan pesakit Covid-19 paling banyak dimasukkan ke hospital sejak awal September lalu. – MalaysiaGazette