Finas menutup premisnya di Hulu Klang bagi proses sanitasi.

KUALA LUMPUR – Penerima bantuan di bawah Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) akan menerima surat tawaran awal November ini.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, urusan penerimaan fasa pertama bantuan tersebut telah selesai.

“Pelaksana fasa pertama telah selesai di peringkat Finas dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), keputusan bagi setiap penerima yang telah berjaya akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh Finas,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, beliau memberitahu, permohonan bagi Dana Filem Cereka Khas Kenegaraan dan Dana Program Tv melalui kerjasama khas Finas dengan Astro boleh dibuat pada 19 Oktober menerusi laman rasmi perbadanan tersebut.

Ujarnya, tarikh tutup permohonan adalah pada 30 November 2020.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, pendaftaran Program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif telah bermula 15 Oktober yang lalu.

Program tersebut merupakan kerjasama di antara Finas dengan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT) termasuk Pusat Pengajian Tinggi.- MalaysiaGazette