Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Bursa Malaysia dijangka mengalami prestasi tidak banyak berubah dengan kecenderungan meningkat minggu depan, susulan aktiviti pembelian semasa harga rendah yang sederhana.

Naib Presiden Penyelidikan, Rakuten Trade Sdn Bhd, Vincent Lau berkata, indeks utama dijangka meningkat di antara 1,520 dengan 1,550 mata.

“Bagi pasaran meluas, momentum pembelian dijangka kekal rancak minggu depan, terutama disokong oleh penyertaan runcit kerana ramai pekerja telah mula bekerja dari rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya kepada Bernama.

PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa dari 14 hingga 27 Okt manakala di Sabah dari 13 hingga 26 Okt.

Peniaga lain pula berkata peserta pasaran juga akan memantau rapat perkembangan politik tempatan terkini.

“Isu politik yang berlanjutan di dalam negara tidak dapat dielakkan akan menyebabkan pasaran saham mengalami penurunan minggu depan selepas mencatatkan beberapa siri kenaikan sebelum ini,” katanya yang enggan namanya dipetik.

Bagi minggu yang baru berakhir, bursa tempatan bergerak di zon negatif kebanyakannya, berikutan kegelisan politik meningkat selain pertambahan semula kes COVID-19 di peringkat global.

Secara luaran, prestasi bursa tempatan turut seiring dengan bursa serantau sejak minggu lepas.

Ia juga dipengaruhi oleh prestasi semalam Wall Street dan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Steven Mnuchin bahawa tidak mungkin rang undang-undang rangsangan akan diluluskan sebelum hari pemilihan presiden AS pada 3 Nov ini.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 26.51 mata kepada 1,503.84 daripada 1,530.35 pada minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas kurang 82.85 mata kepada 10,938.07, Indeks FBMT 100 merosot 100.59 mata kepada 10,740.22 namun Indeks FBM Emas Syariah naik 9.88 mata kepada 13,140.61.

FBM 70 meningkat 207.07 mata kepada 14,571.71 dan FBM ACE melonjak 414.74 mata kepada 10,971.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut  254.71 mata kepada 12,409.67, Indeks Perladangan turun 216.71 mata kepada 6,858.51 sementara Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.63 mata kepada 143.60.

Indeks Teknologi menambah 30.61 mata kepada 59.02 sementara Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 273.74 mata kepada 4,227.17.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 33.97 bilion unit bernilai RM23.47 bilion daripada 30.51 bilion unit bernilai RM18.12 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama melonjak kepada 19.81 bilion saham bernilai RM17.91 bilion daripada 13.87 bilion saham bernilai RM13.99 bilion.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.06 bilion unit bernilai RM988.80 juta berbanding 3.12 bilion unit bernilai RM765.05 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE pulak menokok kepada kepada 10.08 bilion saham bernilai RM4.57 bilion daripada 9.11 bilion saham bernilai RM3.37 bilion. – MalaysiaGazette