Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyumbang kepada gelombang ketiga penularan Covid-19.

Beliau berkata, penganjuran PRN itu dilihat menyumbang kepada penularan kes apabila ada pihak yang tidak patuh prosedur operasi standard (SOP).

“Jika melihat kepada pilihan raya diadakan di New Zealand, tiada peningkatan ketara kes (gelombang) dilaporkan berlaku.

“Justeru, kita tidak menolak kemungkinan PRN (Sabah) menyumbang kepada peningkatan kes ketika ini kerana ketidakpatuhan terhadap SOP,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara bagi mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan Covid-19 di dalam tirai besi.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengenal pasti penularan jangkitan Covid-19 di dalam penjara.

“Mungkin ada jangkitan membabitkan banduan di dalam penjara kerana virus berkenaan dibawa oleh petugas penjara atau ketika banduan dibawa keluar ketika proses sebutan kes yang boleh menjangkiti banduan lain.

“Justeru, kita perlu mengenal pasti tempat saringan yang perlu dilakukan terhadap mereka selain pelaksanaan SOP pengasingan terhadap banduan terbabit selama 14 hari sebelum dicampurkan bersama banduan lain,” ujarnya.

Mengulas lanjut Noor Hisham berkata, pihaknya mempunyai pengalaman dalam mengatasi permasalahan itu apabila gelombang kedua Covid-19 melanda negara membabitkan depoh tahanan imigresen sebelum ini.

“Kita sudah ada pengalaman menangani penularan Covid-19 di depoh tahanan sebelum ini serta model itu boleh boleh diguna pakai di lokap dan penjara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette