Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan dengan kecenderungan meningkat, didorong oleh perkembangan luaran, kata peniaga.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, sebarang hasil positif yang mengejutkan dalam rundingan berkaitan pusingan baharu rangsangan fiskal AS akan memacu minat risiko.

Beliau berkata, bagaimanapun senario seperti itu tidak mungkin berlaku buat masa ini memandangkan pilihan raya AS hanya dua minggu lagi.

“Pasaran akan menumpukan debat di antara Presiden Donald Trump dengan pencabarnya daripada pihak Demokrat, Joe Biden tidak lama lagi, terutama jika debat itu sekali lagi gagal seperti sebelum ini.

“Namun, kenyataan mengejutkan semasa debat tersebut boleh menjejaskan pasaran, walaupun pasaran telah sedia menjangkakan keputusan berpotensi bagi pilihan raya itu,” katanya kepada Bernama.

Han berkata pengumuman data China pada Isnin juga dapat menentukan keadaan bagi pasaran Asia awal minggu depan.

Beliau berkata kejutan positif daripada data Keluaran Dalam Negara Kasar, pengeluaran perindustarian dan penjualan runcit suku ketiga dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu boleh diterjemahkan kepada peningkatan mata wang serantau.

Sementara itu, pasangan ringgit/dolar AS yang menunjukkan prestasi stabil pada minggu yang baru berakhir, tidak banyak tersasar daripada julat 4.14 hingga 4.15, dengan pasangan mata wang ini menjadi antara yang paling stabil dalam kompleks dolar/Asia dalam beberapa minggu kebelakangan ini, katanya.

Di peringkat tempatan, Indeks Harga Pengguna Malaysia bagi September, yang dijadual diumumkan pada Rabu, dijangka pada minus 1.3 peratus, yang menandakan penguncupan bagi bulan ketujuh berturut-turut.

“Trend itu boleh memungkinkan Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar faedah sekali lagi pada awal November,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit turun berbanding dolar AS kepada 4.1470/1520 daripada 4.1320/1400 pada minggu lepas.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0517/0556 daripada 3.0474/0542 pada Jumaat minggu lepas, dan lemah berbanding yen kepada 3.9409/9460 daripada 3.9014/9101.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.3654/3735 daripada 5.3456/3576 minggu lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8553/8628 daripada 4.8741/8840. – MalaysiaGazette