Datuk Mazlan Aliman
Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR – Cadangan Datuk Seri Idris Jusoh yang mahu mengambil semula ladang seluas 350,000 hektar daripada FGV Holdings Bhd disokong bekas pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mazlan Aliman.

Mazlan yakin kenyataan Pengerusi Felda itu pasti disambut baik, seiring dengan perjuangan berterusan warga Felda seluruh negara.

“Saya mengharapkan kerajaan dapat muktamadkan segera pelan pengambilalihan ini yang diyakini dapat memulih dan mengembalikan kewangan Felda seperti dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan menegaskan, beliau sememangnya tidak pernah bersetuju dengan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia kerana yakin ia akan gagal.

Dakwanya, segala pandangan melalui berbagai forum dan memorandum berhubung bantahan tersebut telah disalurkan kepada kerajaan ketika itu (Barisan Nasional), tetapi tidak dipedulikan.

Ujarnya, penyenaraian telah terbukti ‘gagal’ dan ia merupakan suatu tragedi hitam yang hampir ‘membunuh’ institusi orang Melayu.

Jelas beliau, semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan pernah timbul pengambilalihan FGV oleh pihak ketiga, namun beliau konsisten menentangnya. – MalaysiaGazette