Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menyusahkan, mengancam kesihatan dan mengganggu rutin harian. Itu antara keluhan yang disuarakan penduduk berikutan kekerapan masalah bekalan air yang sering sahaja berlaku.

Pengusaha kedai makan, Nashruddin Lot, 58, berkata, ketiadaan bekalan air yang sudah beberapa kali berlaku dalam bulan ini mengganggu urusan harian perniagaannya.

“Saya mempunyai bekalan air tangki sendiri untuk kegunaan kedai namun ia akan habis dalam masa satu hari dan selepas itu saya terpaksa beli air mineral untuk memasak walaupun tahu kosnya sangat tinggi.

“Jika difikir dari segi soal keselamatan pelanggan juga tergugat kerana mungkin ada yang akan guna sebarang jenis air misalnya air takungan.

“Ada satu hari saya rugi banyak kerana beli air mineral sehingga RM400 untuk kegunaan cuci beras, memasak dan juga mencuci, tapi kami tiada pilihan lain dan jarang tutup kedai kerana memikirkan pelanggan,” katanya mengusahakan kedai makan di Medan Selera Desa Keramat di sini.

Nashruddin Lot

Tambah Nashruddin, kesedaran masyarakat di negara ini juga masih kurang kerana masih memandang enteng soal menjaga kebersihan sungai.

Katanya lagi, undang-undang terhadap individu mahupun syarikat yang melakukan pencemaran juga dilihat terlalu ringan.

“Contohnya di sepanjang Sungai Klang terdapat rumah-rumah dan peniaga dilihat buang sampah ke dalam sungai hinggakan bangkai kereta pun turut dibuang. Kilang-kilang juga dilihat cari jalan mudah dan satu lagu mungkin hendak jimatkan kos mereka jadi buang ke dalam sungai,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penduduk di flat di AU3 Keramat, Wan Nazri Wan Ibrahim, 48, berkata, kekerapan gangguan bekalan air yang berlaku bukan sahaja merimaskan malah menyusahkan mereka yang terpaksa mengangkut air.

Wan Nazri Wan Ibrahim

Dalam masa sama, Wan Nazri turut memohon kerajaan dan juga pihak Air Selangor supaya memandang serius masalah ketiadaan air tersebut seterusnya mencari jalan penyelesaian supaya masyarakat tidak terus dibelenggu masalah sama.

“Apa tindakan Air Selangor selepas ini pun saya tidak tahu, kami penduduk rasa terbeban kerana terpaksa angkut air. Kebanyakan flat di sini tiada tangki air, apabila bekalan ditutup memang susah pada kami.

“Orang rumah nak masak pun tak boleh kerana air simpanan tidak ada. Situasi jadi rumit, kalau boleh kerajaan ikhtiar supaya keadaan sebegini dapat dielakkan,” katanya.

Seorang lagi penduduk di Taman Kelab Ukay, Zaidi Zaki, 49, berkata, peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikuat kuasa menjadi bertambah rumit apabila berlakunya ketiadaan bekalan air.

Zaidi Zaki

“Selagi air ada dalam tong simpanan tidak jadi masalah tapi bila dah habis digunakan perlu cari alternatif lain seperti beli air mineral.

“Untuk bergerak ke kawasan ada air dengan kenaikan kes Covid-19 ketika ini memang risau,” ujarnya.

Terdahulu, LRA SSP 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Elina Baseri berkata, henti tugas keempat-empat loji itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – MalaysiaGazette