Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia akan berusaha memastikan sumber air negara ini diuruskan secara lestari maka bekalan air seharusnya tidak dibazirkan atau dicemari.

Katanya, ini akan menyumbang kepada pencapaian keseluruhan indeks petunjuk prestasi kebangsaan   sebanyak 99 peratus bagi pembekalan sumber air, 80 peratus perkhidmatan pembentungan bersambung dan sasaran kebangsaan pengurangaan air tidak terhasil (NRW) sebanyak 25 peratus, menjelang  2030.

Namun, beliau berkata kesan perubahan iklim mungkin akan mempengaruhi kemampuan untuk memenuhi permintaan terhadap air dan pelaksanaan projek infrastruktur sumber air.

“Kesan perubahan iklim terhadap sumber air mengubah ketersediaan, kuantiti dan kualiti kitaran bekalan air dan masa sama menyumbang terhadap perubahan cuaca yang melampau, menyebabkan kemarau panjang serta bencana banjir yang teruk,” katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa 2020 (IGEM 2020) yang diadakan secara maya, hari ini.

Demi masa depan, Muhyiddin berkata kerajaan sudah merancang untuk mencari alternatif lain atau sumber air yang tidak konvensional seperti pengambilan air bawah tanah, penuaian air hujan atau penuaian air hujan ribut menggunakan penyimpanan di luar sungai dan takungan kawasan pantai.

Dalam perkembangan sama, ke arah pembangunan mampan, Muhyiddin berkata kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga sedang menyiapkan pelan Kelestarian Alam Sekitar, sebuah dokumen dan petunjuk yang mempunyai sasaran jelas pembangunan mampan dari tahun 2020 hingga 2030.

Bagi mencapai matlamat serupa, Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah melancarkan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), yang menggariskan rangka pendekatan strategik sehingga tahun 2030 untuk pembangunan teknologi hijau bagi mewujudkan ekonomi sumber cekap dan rendah karbon.

“Kita juga telah menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia agar mempunyai visi bandar raya rendah karbon dan membangunkan pelan tindakan rendah karbon,” katanya, sambil menambah bahawa kini terdapat 52 pihak berkuasa tempatan yang mengambil bahagian dalam Program Rangka Kerja Bandar Raya Rendah Karbon yang mendorong strategi dan tindakan untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Dianjurkan oleh KASA, IGEM 2020 merupakan platform bagi peluang perniagaan berganda yang berfungsi sebagai penyatuan pelbagai kemungkinan dan memacu perubahan yang berkesan, memberi penekanan terhadap peranan IGEM dalam memangkin pembangunan ekonomi hijau secara global.

Ini adalah saluran utama untuk menghimpunkan pihak kerajaan, pembuat dasar, syarikat dan individu dalam satu platform yang akan membuka jalan baharu dan memperkenalkan penyelesaian inovatif untuk memenuhi senario ekonomi global dan peningkatan dalam perubahan iklim.

— BERNAMA