Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kes positif Covid-19 di negara ini terus melepasi 800 kes untuk tiga hari berturut-turut dengan yang terbaharu sebanyak 865 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia akibat wabak itu adalah 190 kes.

Katanya, sebanyak 455 kes sembuh dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 13,717 kes bersamaan 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,456 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai penularan Covid-19  hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, secara keseluruhan, sebanyak 154 kes, atau 17.8 peratus, pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster
Tembok dan empat kes saringan tahanan Penjara Tapah.

Ujarnya, kes-kes itu sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat.

Tambah beliau, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes atau 74.3 peratus dan lebih banyak ujian makmal dijalankan di Sabah dan dihantar ke Semenanjung.

“Manakala, negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 13.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.