Muhammad Dhiyauddin Saharudin

Tatkala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan di Selangor, rakyat negeri ini diuji dengan masalah gangguan bekalan air.

Minggu lepas, bekalan air Selangor di 59 Wilayah Klang/ Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan susulan paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip kawasan pembinaan Shah Alam.

Antara kawasan yang terlibat adalah Ambang Botanik, Bandar Bestari dan Glenmarie Cove di Wilayah Klang/ Shah Alam, manakala di Wilayah Kuala Langat adalah Jalan Sijangkang Utama, Eco Santuary dan Tropicana Aman.

Bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna yang terjejas. Tetapi tetap menggangu rutin harian pengguna.

Kelmarin, pengguna di sekitar Lembah Klang pula berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kebocoran paip dan menyalurkan bekalan air terawat.

Bekalan air yang ditutup akan menyebabkan gangguan di 666 kawasan melibatkan Wilayah Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor yang menerima bekalan air dari LRA SSP 1.

Hari ini, sekali lagi pengguna dikejutkan dengan notis henti tugas loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah yang dikesan di Sungai Selangor pada jam 2.00 pagi, 19 Oktober 2020.

Henti tugas keempat-empat loji ini telah menyebabkan gangguan bejalan air tidak berjadual. Gangguan bekalan air tidak berjadual akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Harus dipuji tindakan pantas Air Selangor yang melepaskan air secara gravity dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari dengan pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta sehari bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor itu.

Pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON.

Lembaga Urus Air Selangor juga telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

Gangguan ini melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/ Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Bagai kaca terhempas ke batu. Maksudnya sangat sedih dan kecewa dengan masalah air di Selangor ini.

Ironinya, naratif bekalan air Selangor berkepanjangan mengalami masalah pencemaran akibat daripada pihak yang langsung tidak berhati perut yang hanya mengutamakan keuntungan perniagaan semata-mata.

Gangguan bekalan air di Selangor sepanjang 2018 adalah sebanyak 11,074 atau purata 30 kes setiap hari, berdasarkan Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) 2019.

Air adalah antara keperluan rakyat. Sebagai pengguna, kita tidak boleh membiarkan pihak tidak bertanggungjawab terus menjejaskan kehidupan rakyat.

Apa yang pengguna mahukan adalah bekalan air sentiasa ada untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa dan untuk itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak yang bertanggungjawab, yang berkuasa dan yang diberikan amanah untuk menjalankan kerja masing-masing dengan penuh dedikasi, efisen dan nilai integriti yang tinggi.

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk merangka dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan untuk memperbetulkan keadaan.

Persatuan Wira Air (PERWIRA) senantiasa menyokong tindakan pantas dan tuntas pihak PBT bagi masalah air negara.

Dhiyauddin Saharudin
Pengerusi
Persatuan Wira Air (PERWIRA)