Tan Sri Annuar Musa

PUTRAJAYA – Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) malam ini akan turut membincangkan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu secara rasmi.

Setiausaha Agong Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu boleh dibincangkan kerana ia pernah diminitkan dalam mesyuarat sebelum ini.

“Mungkin kemasukan Bersatu itu boleh dibincangkan kerana ia ada dalam minit mesyuarat lepas,” katanya.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan membincangkan isu kemasukan Bersatu.

Beliau berkata, penyertaan Bersatu sebelum ini telah dimaklumkan secara hitam putih dan presiden-presiden bersetuju untuk menyertai MN.

Annuar tidak menolak perbincangan kemasukan Bersatu turut memerlukan draf memorandum persefahaman (MOU), piagam yang baharu dan ia tidak boleh menggunakan kaedah sepertimana UMNO dan Pas sebelum ini.

“Kerjasama yang UMNO dengan Pas dulu lama, sekarang ini kita kena draf MOU yang baharu, piagam dan sebagainya.

“Jadi kalau Bersatu masuk tentu ia tidak boleh ambil sahaja piagam lama, MOU lama. Jadi macam mana cara kerjasama itu kita bincang, yang penting kerjasama demi mengutamakan penyatuan dan perpaduan politik Melayu,” ujarnya.

Annuar berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri operasi sanitasi awam di Putrajaya hari ini.

Operasi tersebut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj).

Jelasnya, mesyuarat MN malam ini akan turut disertai Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Lazimnya timbalan-timbalan presiden yang akan mempengerusikannya, saya turut jadi ahli dan urusetianya,” ujarnya.

Ogos lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti pimpinannya bersetuju menyertai MN iaitu kerjasama antara UMNO dan Pas. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.