Amirudin menghidu sampel air sungai yang tercemar dengan bahan kimia, punca LRA Sungai Selangor terpaksa dihentikan.

KUALA LUMPUR – Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran dan siasatan sedang dijalankan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, kadar pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang ialah 1 TON dan bekalan air akan mula disalurkan apabila bacaan mencecah 0 TON.

“Saya kini di Intake Sungai Selangor Fasa 2 untuk meninjau kerja pemulihan bekalan air akibat pencemaran yang dikesan awal pagi ini.

“Usaha pemulihan pencemaran sedang giat dilaksanakan dan mengikut trend perkembangan bacaan semasa, pencemaran dijangka pulih pada petang ini.

“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Pagi ini, pencemaran bau seolah bahan kimia sylvan dikesan menyebabkan punca utama LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sejak jam 12.30 tengah malam semalam dan jam 2 pagi tadi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar yang menyebabkan pencemaran Sungai Selangor itu.

Katanya, siasatan awal pakar Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. mendapati bau itu seperti sebelum ini iaitu bau sylvan dan punca sebenar masih disiasat. – MalaysiaGazette