Anwar Ibrahim. foto AFIQ HAMBALI, 16 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak di Sabah memerlukan penjelasan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya bimbang dengan perkembangan terkini di Sabah dan mendesak agar kerajaan memberikan penjelasan dan mengambil langkah drastik bagi menangani peningkatan kes positif Covid-19 selepas Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah, bulan lalu.

“Dengan perkembangan ini, ada beberapa perkara yang memerlukan penjelasan dari kerajaan.

“Pertama, sistem kesihatan di Sabah yang kita telah sedia maklum kekurangan dana, staf dan sumber daya kini ditimpa dan dibanjiri dampak dari wabak Covid-19.

“KKM telah mengalihkan segala sumber yang ada ke Sabah, dan usaha ini tidak harus dibebankan pada kementerian sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar berkata, langkah itu memerlukan dokongan politik dan kepimpinan yang jelas, penglibatan NADMA dan beberapa kementerian lain bagi menggerakkan pasukan-pasukan perubatan dan kelengkapan perubatan ke Sabah.

Katanya, setelah lapan bulan Malaysia mendepani penularan pendemik Covid-19, kerajaan sepatutnya mampu dan mempunyai keupayaan untuk menjalankan ujian saringan secara besar-besaran.

“Kementerian Kesihatan mesti mendedahkan kepada umum sebarang strategi yang diambil dalam membendung wabak ini di Sabah, apakah secara ianya secara pengujian atau langkah dan strategi yang lain,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menggesa kerajaan untuk memikirkan bantuan kecemasan berupa kewangan dan makanan kepada rakyat yang terkesan, dan ini sangat penting dalam memastikan warga yang terpinggir dapat meneruskan hidup.

“Saya mengulangi gesaan saya sebelum ini pada kerajaan agar melanjutkan moratorium pinjaman ke seluruh negara sebagai langkah segera kepada rakyat dan PKS di seluruh negara,” katanya lagi.

Statistik terkini di Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 643 kes daripada 858 kes positif Covid-19, hari ini.

Daripada 643 kes dilaporkan di Sabah, 183 dari kluster-kluster sedia ada.

Sejumlah 343 pula dari saringan kontak rapat.

Untuk rekod, sejumlah 8,725 kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah sehingga hari ini. – MalaysiaGazette