KUALA LUMPUR – Masih ada ahli politik tidak ambil pusing dengan penularan Covid-19 di negara ini kerana mereka terlalu sibuk bermain politik.

Setiausaha Penerangan MIC Kebangsaan, Subash Chandrabose berkata, setiap hari ada sahaja orang yang mendekatinya bertanyakan apakah yang akan berlaku sekiranya keadaan ekonomi dan politik tidak stabil,

“Mestilah mereka risau, tidak senang hati, kecewa dan sedih semuanya bercampur aduk kerana yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

“Ini ditambah pula dengan kemelut serta pergolakan politik yang seperti tiada surutnya, pastinya ini satu fenomena luar biasa sekali. Saya tidak bercakap bagi mana-mana pihak. Ini pandangan peribadi.

“Saya amat mengharapkan setiap pemimpin parti politik menepikan dulu politik peribadi dan tampil ke hadapan untuk membantu kerajaan hari ini mengatasi masalah penularan penyakit Covid, itu sahaja permintaan mahupun rayuan. Tolonglah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurut Subash, peningkatan kes positif Covid-19 telah memaksa kerajaan melaksanakan Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Tambah beliau sumber pendapatan eniaga dan penjaja akan terjejas manakala konomi negara akan semakin merosot dan ia tidak boleh diambil mudah

“Selangor pula asyik-asyik menghadapi masalah air. Pencemaran sungai oleh golongan tidak bertanggungjawab dan loji air mengakibatkan gangguan bekalan air saban waktu. Semua semakin susah tanpa air.

“Tetapi ada pula ketika ini, segelintir ahli politik sibuk mencari sokongan menjadi Perdana Menteri, apakah logik ini terutamanya di mata rakyat?

“Apa yang terjadi dengan janji ikrar kamu di medan-medan politik kononnya akan mendahului kepentingan rakyat? Bukankah ini adalah waktu paling tepat untuk kamu buktikan itu bukan sekadar retorik?” ujarnya.

Subash berkata, ini adalah waktunya wakil rakyat turun bagi membantu rakyat mengurangkan beban mereka.

Tambah beliau, daripada berbincang untuk rampas kuasa, rombakan Kabinet atau membubar Parlimen ada baiknya ahli politik mencari jalan membantu rakyat. – MalaysiaGazette