Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner, Datuk Saiful Azly Kamaruddin. foto ISKANDAR HAMIDI, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita tempatan berusia 23 tahun untuk dapatkan rawatan kecantikan di sebuah pusat kecantikan menyedut lemak membawa ajal.

Wanita berkenaan mati pada kejadian Sabtu lalu jam 2.30 petang selepas yang berkunjung ke sebuah pusat kecantikan yang tidak diiktiraf dalam rawatan kecantikan yang difahamkan terletak di pusat beli belah di Cheras.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, semasa kejadian, mangsa cuba mendapatkan prosedur merawat sedutan lemak yang diuruskan premis milik seorang ibu dan anaknya.

“Dia pergi buat rawatan kecantikan dengan syarikat itu yang didapati telah berdaftar secara sah tetapi siasatan polis mendapati dia tidak mempunyai kemahiran atau berkepakaran dalam penyedutan lemak.

“Jadi apabila mangsa pergi ke premis dapatkan khidmat mereka, majikan iaitu emak dan anaknya melakukan proses penyedutan lemak kepada wanita itu.

“Setelah mereka memberi suntikan di tangan mangsa, mangsa terus mengalami masalah kesukaran bernafas, muka dan badan jadi pucat sebelum pengsan dan tidak sedar diri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.

Tambah Saiful Azly, pemilik premis kemudiannya menelefon ambulans sebelum mangsa dikejarkan ke hospital dan didapati meninggal dunia.

Katanya pihaknya menunggu laporan bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian wanita itu.

Rentetan kejadian itu, katanya, kedua dua suspek ibu dan anak itu berusia 49 dan 23 tahun telah direman tiga hari dan kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 304a Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette