Pengasas Produk Pewangi Badan dan Udara jenama ENKE, Mohd Rashidie Ramli menunjukkan produknya semasa ditemubual oleh Malaysia Gazette di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

KAJANG – Ketika kebanyakan usahawan lain terpaksa ‘mengikat perut’, malah ada yang gulung tikar akibat terkesan dengan pandemik Covid-19, lain pula situasi yang berlaku kepada individu ini.

Tanpa disangka, beliau antara mereka yang dikurniakan rezeki berlipat ganda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan sejak Mac lalu kerana mampu menjana jualan berlipat kali ganda hingga mencecah lima angka.

Bagaimanapun, kejayaan itu bukan datang bergolek kerana pada peringkat awal PKP, beliau turut hilang punca dan hampr berputus asa kerana berdepan jualan yang jatuh merundum.

Namun memasuki awal April lalu, jualan produknya naik mendadak hingga kini terpaksa menambah jumlah kakitangan sedia ada.

Antara produk pewangi badan jenama NK di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

Itu antara pengalaman seorang usahawan produk pewangi badan dan udara yang berubah hidup hasil pelaksanaan PKP disebabkan virus Covid-19 yang mampu menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Mohd. Rashidie Ramli, 33, berkata, pada awal pelaksanaan PKP, dia seolah-olah terkejut denga apa yang menimpa negara ketika itu apatah lagi ia pertama kali situasi itu berlaku.

Akui bapa kepada dua anak, dia hanya pasrah ketika itu dan hampir mengundur daripada bisnesnya itu.

Lebih memburukkan keadaan, jualan produknya hanya mampu mencecah RM1,000 sebulan sebelum tiba-tiba naik sehingga sehingga RM50,000.

Pengasas Produk Pewangi Badan dan Udara jenama ENKE, Mohd Rashidie Ramli bercakap semasa ditemubual oleh Malaysia Gazette di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

“Apa yang saya boleh kongsikan rahsianya adalah menggalakkan kakitangan dan pengedar untuk melahirkan seberapa banyak idea yang baharu walaupun ketika itu hanya beroperasi di rumah.

“Dalam bisnes, saya perlu mendengar pandangan kerja sepasukan walaupun saya bos dan tidak semestinya saya seorang sahaja yang betul.

“Pengedar dan kakitangan yang tidak mahir bisnes atas talian pula difokus untuk mendalami teknik itu untuk membuat pemasaran walaupun dua bulan kami bekerja dari rumah.

“Dalam terkapai-kapai ketika itu, saya banyak belajar benda baharu dengan membaca dan mencari guru berpengalaman dalam perniagaan.

“Alhamdulillah bulan April lalu, jualan mula naik dan tiba -tiba mendadak hingga RM50,000 sebulan berbanding bulan pertama PKP hanya RM1,000,” katanya ketika ditemui di pejabat di Bandar Sri Putra di sini semalam.

Pengasas Produk Pewangi Badan dan Udara jenama ENKE, Mohd Rashidie Ramli bercakap semasa ditemubual oleh Malaysia Gazette di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

Mohd. Rashidie mula membuka perniagaan pewangi badan menggunakan jenama ENKE di bawah syarikat  NK Exclusive Business Sdn. Bhd. sejak empat tahun lalu bermodalkan hanya RM700 sahaja.

Julai lalu, beliau meluaskan rangkaian produknya kepada pewangi udara termasuk menambah lima lagi kakitangan baharu menjadikan 10 secara keseluruhannya ketika ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rashidie mengakui banyak hikmah yang diperolehi menerusi PKP yang mana golongan usahawan boleh menerokai banyak benda baharu dengan menjadi lebih kreatif lagi.

Lelaki kelahiran Segamat, Johor itu berkata, mungkin sebelum ini berada dalam zon selesa, pemilik bisnes tidak nampak hala tuju untuk berada dalam persekitaran yang tepat.

“Contohnya apabila sudah empat tahun berada dalam bisnes ini, kami memiliki pangkalan data pelanggan yang ramai.

“Namun perkara itu terlepas pandang untuk mendapatkan maklum balas. Jadi ketika PKP, kakitangan perlu mencari semula pelanggan tersebut dan hasilnya ramai rupanya ingat kami sudah tidak beroperasi namun masih berminat mendapat produk ENKE,” katanya yang menyasarkan 100 jutawan yang dilahirkan ENKE pada 2025.

Pengasas Produk Pewangi Badan dan Udara jenama ENKE, Mohd Rashidie Ramli (dua kiri) memantau pekerjanya membuat tugasan harian semasa ditemubual oleh Malaysia Gazette di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

Mengenai masa depan bisnesnya, Mohd. Rashidie yakin produk ENKE dapat mencecah jualan 500,000 unit pada akhir tahun ini dan 1 juta unit pada akhir 2021.

Jelasnya, dengan pertambahan kakitangan, pihaknya kini mula serius untuk melakukan promosi di media sosial selain muncul di kaca televisyen untuk slot iklan berbayar berbanding kaedah jelajah di gerai pameran sebelum ini.

“ENKE mahu menjadi produk pewangi tanpa alkohol nombor satu di negara selain keunikannya bukan botol semburan namun botol secara ‘roll-on’.

“Selain itu, pati yang digunakan diimport dari luar negara dengan bancuh sendiri resepi sebelum pembungkusan dilakukan di pejabat ini.

“Selain itu kami turut bersyukur kerana MARA akan membantu untuk mendapat sijil halal sebelum berpindah ke Wisma ENKE setinggi tiga tingkat di Seremban awal tahun depan,” katanya sambil memberitahu ENKE turut memiliki tiga papan iklan yang dipasang di lebuh raya di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Antara produk pewangi badan jenama NK di ENKE Malaysia, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 OKTOBER 2020

Mohd. Rashidie memberitahu pihaknya turut menyasarkan stokis dan ejen akan meningkat sehingga 2,000 pada tahun depan berbanding ketika ini seramai 1,000 orang.

Jelasnya, dengan modal serendah RM156, orang ramai boleh menjana pendapatan sambilan sehingga RM3,000 selain faedah lain seperti pendapatah pasif, hadiah wang tunai, emas dan bonus tahunan.

Menutup perbualan, beliau yang pernah gagal dalam bisnes terdahulu berkata, pengajaran lalu banyak mematangkan dirinya.

“Niat saya meniaga kini ingin memberi manfat kepada orang dengan melakukan kerja amal.

“Bagi saya, kejayaan seorang usahawan itu akan diuji bila mereka berada di puncak,” katanya tersenyum.

Sementara itu, orang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai ENKE, boleh menghubungi talian +6018-3554904. – MalaysiaGazette