Kawalan/Rondaan Persempadanan di salah satu sektor sempadan daratan di Sarawak oleh Anggota Tentera Darat Malaysia.

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyelaras OP Benteng akan memberi tumpuan kepada lorong-lorong tikus yang menjadi hot spot laluan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk keluar, masuk dari Sarawak.

Sehingga kini, seramai 497 PATI dan 28 tekong darat berjaya ditahan, termasuk lima tekong tempatan dan 23 tekong Indonesia.

Manakala sebanyak 56 pengusiran telah dilaksanakan.

Daripada 497 PATI yang ditahan, seramai 459 adalah warga Indonesia dan bakinya terdiri daripada rakyat Filipina, Bangladesh, Thailand, India, Vietnam dan Myanmar.

Markas ATM  berkata, kejayaan ini hasil koordinasi bersepadu National Task Force (NTF) dengan agensi penguatkuasaan dan keselamatan yang terdiri daripada ATM sendiri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Kawalan/Rondaan Persempadanan di salah satu sektor sempadan
daratan di Sarawak oleh Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)

Penugasan NTF di Sarawak meliputi atur gerak Komponen Maritim meliputi lapan sektor rondaan maritim melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia(TLDM), APMM dan PDRM – Pasukan Polis Marin (PPM).

Manakala Komponen Daratan Timur melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), PDRM – Pasukan Gerakan Am (PGA), JIM, JKDM, RELA dan KKM.

Melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak-Kalimantan, Op Benteng diperkasakan dengan operasi sedia ada iaitu Op Awas/Keris Parang, Op Kerangka, Op Suluh Kenyalang dan Op Jagakawan yang dioperasikan oleh TDM.

Pemeriksaan dan Penahanan Bot Nelayan Asing oleh Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak

Manakala Op Awas/Batas dan Op Benteng PDRM dioperasikan oleh PGA.

”Sebagai langkah menangani penularan pandemik Covid-19 oleh PATI, Panglima Angkatan Tentera menegaskan bahawa Op Benteng di bawah NTF yang dikoordinasi oleh ATM sebagai agensi peneraju sentiasa meningkatkan kesiagaan kawalan sempadan di Sarawak baik persempadanan maritim mahupun daratan,” kata Markas ATM dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, ia melibatkan kawalan persempadanan di sektor Biawak, Kandaie, Serikin, Tebedu, Balai Ringan dan Lubok Antu.

Pemantauan dan Penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia
(JIM) Negeri Sarawak

Oleh itu, masyarakat terutama di Sarawak digesa untuk bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223).

”Kerjasama daripada semua pihak adalah amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” kata markas tersebut. – MalaysiaGazette