Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. foto MOHD ADZLAN, 21 OKTOBER 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor tidak bercadang untuk memberikan diskaun mahupun pengecualian bil air kepada kira-kira 1.2 juta akaun pengguna di Lembah Klang yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 19 Oktober lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebaliknya berkata, bayaran rebat itu sebaiknya digunakan untuk menambah kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengesan pencemaran di sepanjang Sungai Selangor.

“Kalau kita bagi rebat sekitar RM2 sebagai contoh, kita memerlukan kos lebih kurang RM4 juta, itu kita dah kira.

“Daripada itu (bayar rebat) lebih baik kita ambil RM4 juta ini boleh digunakan untuk menambah pegawai-pegawai yang boleh mengesan pencemaran di peringkat awal.

“Ataupun dana ini boleh digunakan untuk menyekat laluan air seketika daripada ia masuk ke laluan dan kita boleh nyahkan keluar,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor, di pejabat Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau mengulas gesaan Pengerusi Gerakan Tuntut Rakyat Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar yang memberi kata dua kepada Kerajaan Negeri Selangor, sama ada memberi diskaun bil air atau Amirudin perlu meletakkan jawatan.

Ia susulan kemarahan rakyat terhadap gangguan bekalan air tidak berjadual pada 19 Oktober lalu selepas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang.

Tindakan itu berikutan pencemaran sumber air mentah telah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi, Isnin lalu..

Amirudin juga mengakui perkara itu ada dibincangkan dalam mesyuarat EXCO Selangor baru-baru ini, namun cadangan itu seolah-olah menyalahkan kerajaan negeri setiap kali berlakunya pencemaran air.

“Kita ada dalam perbincangan tapi kita akan tetapkan kemudian, sebab kita akan berbelanja besar, lebih baik (rebat digunakan) untuk menghalang pencemaran ini berlaku.

“Ini seolah-olah kita menyerah kepada takdir bahawa pencemaran ini akan berlaku dan setiap kali pencemaran berlaku, kita nak kena bayar pula rebat dan sebagainya,” katanya.

Katanya, cadangan memberi rebat itu juga tidak akan menghentikan pencemaran air yang dilakukan oleh penjenayah alam sekitar dan adalah lebih baik dana itu digunakan untuk langkah pencegahan.

“Ia tidak memutuskan tangan-tangan yang terpaksa mengaut dan mengambil air setiap hari dan ia tidak terbayar dengan diskaun yang sebegitu.

“Justeru bagi pihak kerajaan negeri kita akan cuba sedaya upaya mengelakkan pencemaran ini berlaku.

“Malahan rekod prestasi kita dari April sampai September, kita berjaya mengelakkan pencemaran air dengan membuat lawatan 24 jam yang dilakukan sejak sekian lama,” jelasnya.

Oleh kerana sejak kebelakangan ini pencemaran kerap dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, pihaknya perlu memikirkan langkah pengawasan dan kawalan lebih kerap dengan menambah pegawai LUAS sedia ada.

“Namun mutakhir ini berulang-ulang pencemaran ini berlaku dan ia adalah satu yang agak mendukacitakan dan kita perlu pertingkatkan proses kawalan.

“Kita sentiasa membuat kawalan 24 jam, namun dalam masa sama kita akan tambah lagi (pegawai) dengan dron. Hari ini kita nak tambah lagi pegawai-pegawai (LUAS) sedia ada,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Ko tggu lah PKR n MB sombong, pru15 selangor akn jatuh tggu dah lihat je..sombong ko ya…ko tggu je pru15 nnti, pembayaran bil akn hukum kamu ya…

  2. Kita tunggu bulan deoan ada lg tak oencemaran, gangguan bekalan air. Kalau ada langkah menambah kakitangan Luas (yg bernilai 4 juta dan dron) tak berkesan. Then you should step down from the position MB.

Comments are closed.