Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed (kiri) menunjukkan gambar suspek 'Geng Rusa Boy' yang dikehendaki pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Satu kumpulan penjenayah dikenali Geng Rusa Boy yang aktif dalam kegiatan memproses dan mengedar heroin berskala besar, jenayah kekerasan dan pembunuhan sejak tahun 2014 akhirnya ditumpaskan.

Tindakan ganas dan sadis Geng Rusa Boy itu yang terlibat jenayah memukul, menetak dan membunuh dengan sokongan anggota kumpulan lebih 40 orang yang telah mengawal pengedaran dadah di Kedah iaitu Sungai Petani khususnya dan di Pulau Pinang dilumpuhkan sepenuhnya kata Pengarah Jabatan Siasata Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Menurutnya, kumpulan Rusa Boy diketuai seorang lelaki Cina tempatan berusia 39 tahun dikenali sebagai Rusa Boy dan para ahlinya terdiri daripada pemuda India yang dianggotai kongsi gelap Geng 36 ditahan dalam satu serbuan di Sungai Petani pada September lalu.

Dalam serbuan itu, lima ahli kumpulan itu termasuk ketuanya Rusa Boy ditahan.

Modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan dadah heroin dari negara Thailand sebelum membawa ke makmal haram bagi diproses dan membungkus dadah di Pulau Pinang.

“Dadah yang siap diproses akan di hantar ke setor haram sebelum diedar oleh tokan yang menjadi runner supaya bekalan disampaikan kepada penagih,” katanya dalam sidang media khas kejayaan di Bukit Aman hari ini.

Tambah Huzir, polis turut merampas satu tong plastik berisi dadah heroin seberat 12.52 kilogram yang didapati ditanam suspek di dalam tanah.

Justeru katanya, Geng Rusa Boy juga pada September lalu didakwa telah membunuh salah seorang ahli kumpulannya kerana membocorkan maklumat kegiatan mereka kepada polis.

Selain itu, pada tahun 2016, seorang lagi lelaki telah ditetak kerana menceroboh wilayah mereka dan menjual dadah di kawasan Rusa Boy.

“Dengan tertangkapnya ahli kumpulan itu bersama ketua kumpulannya Rusa Boy, polis percaya berjaya melumpuhkan sepenuhnya sindiket jenayah terancang itu secara total.

“Namun kita ada lapan ahli kumpulan itu yang masih bebas di Sungai Petani Kedah dan ia sedang diburu polis.

“Beberapa ahli kumpulan itu pernah ditahan pada tahun 2018 termasuk ketuanya ditahan di bawah Seksyen 130V1 Kanun Keseksaan namun dibebaskan pertuduhan dipindah di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1996 sebelum kembali aktif dalam jenayah pemerasan ugut, senjata api, tetak, bunuh serta edar dadah,” katanya.

Justeru kesemua 26 suspek 20 hingga 39 tahun yang disyaki ahli kumpulan Rusa Boy itu ditangkap di bawah Seksyen 130V1 Kanun Keseksaan tetapi kali ini menggunakan prosedur SOSMA 2012 memastikan mereka tidak lagi ‘lari’ kali ini.

Ujar beliau, kertas siasatan dibuka dan pendakwara raya Jabatan Peguam Negara di Putrajaya membenarkan untuk mendakwa ketua kumpulannya Rusa Boy dan ahli-ahli yang sedang ada dalam penjara mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rusa Boy.

“Siasatan turut dijalanka di bawah kesalahan pengubahan wang haram untuk ambil tindakan menyita aset dan harta geng tersebut.

“Kita berjaya merampas wang tunai RM22,110 dan barang kemas bernilai RM45,500 barang kemas serta dua kenderaan yang kesemuanya bernilai RM101,000,” ujar beliau.- MalaysiaGazette