LUMUT – Taktik seorang lelaki yang berpura-pura mencari telefon bimbitnya ketika Op Perdana di sebuah ladang kelapa sawit di Pantai Remis di sini, semalam tidak menjadi setelah ditahan bersama 48 individu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Ketua Pegawai AADK Manjung, Asnida Ahmad berkata, dalam kejadian pukul 9.20 pagi semalam, lelaki berumur 42 tahun itu sanggup meninggalkan motosikalnya di tepi jalan besar selepas menyedari kehadiran anggota AADK dan menanyakan mengenai telefon bimbitnya yang kononnya hilang.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 27 hingga 65 tahun dan ujian saringan air kencing mendapati seramai 44 tahanan positif heroin dan syabu,“ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, kebanyakan suspek bekerja kampung dan nelayan dan operasi dijalankan dengan kerjasama anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), di beberapa lokasi termasuk dua ladang sawit di sekitar Pantai Remis dan Sitiawan bermula Ahad lepas, sehingga 12 tengah hari, semalam.

Asnida berkata, ladang sawit di situ dipercayai dijadikan tempat penagih mendapatkan dadah dan melepaskan gian dan ia aktif sejak hampir sebulan lepas.

“Seramai 44 lelaki ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 manakala empat lain iaitu masing-masing seorang di bawah Seksyen 39(A)(1) dan Seksyen 39(A)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.

Operasi dijalankan hasil  aduan orang awam dan risikan selama dua minggu.

Katanya, trend kini didapati menjadikan ladang sawit sebagai lokasi mobil bagi aktiviti penyalahgunaan  dadah bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa. – Bernama