Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Polis menafikan laluan keluar dan masuk ke Petaling Jaya, Selangor di beberapa lokasi ditutup kepada lalu lintas seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis hanya melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Okt ini.

“SJR didirikan di plaza tol Subang, plaza tol Sungai Buloh dan plaza tol Damansara membabitkan laluan keluar dan masuk, dari dan ke Petaling Jaya.

“Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook berkenaan diambil dari akaun Facebook kami namun ia tidak memuat naik status menyatakan ia adalah SJR dan bukan penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Status yang tular dan mendapat lebih 1,000 perkongsian itu mendakwa semua laluan masuk dan keluar ke Petaling Jaya melalui Damansara, Ara Damansara, Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE)  ditutup kecuali bagi yang mempunyai permit polis atau surat majikan.

Nik Ezanee berkata orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB agar rantaian wabak COVID-19 yang belum menunjukkan penurunan jumlah kes dapat diputuskan dan memperlahankan kenderaan di SJR demi keselamatan petugas dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi jumlah individu di dalam kenderaan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

— BERNAMA