Petugas KKM membuat saringan kesihatan ke atas peniaga dan penduduk ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-49 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) diperluaskan kepada semua pencarum di negeri-negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mencakupi Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Peluasan capaian ini akan berkuatkuasa mulai esok.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan boleh menjalankan saringan Covid-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh Perkeso dengan membuat janji temu saringan dan mengemukakan maklumat yang lengkap kepada panel perkhidmatan.

Senarai Panel Perkhidmatan PERKESO boleh diperoleh dalam Direktori Panel Perkhidmatan yang dipaparkan di portal
https://psp.perkeso.gov.my. Proses saringan boleh dilakukan di klinik/makmal ataupun dijalankan di premis pekerjaan.

Menurutnya, hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.

Saringan ini juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin. Kos saringan hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu.

Majikan boleh mengemukakan permohonan untuk Subsidi Saringan Covid-19 melalui portal https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran.

Menurutnya, Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan Covid-19.

Kedua-dua kemudahan tersebut terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja.

Jelasnya, capaian PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor/industri.

Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat.

Majikan dan pekerja diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan Covid-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan. – MalaysiaGazette