Pekerja Air Selangor, Nurasidiq Supangat mengambil sampel air yang tercemar ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Dua, Bestari Jaya, Kuala Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 OKTOBER 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan dicadangkan melantik sebuah badan bebas untuk memantau operasi dan tadbir urus Air Selangor susulan gangguan bekalan air yang kerap berlaku di negeri itu.

Sebagai sebuah negeri paling maju di Malaysia, gangguan bekalan air iaitu bekalan asas kehidupan setiap penduduk yang kerap berlaku ini amat tidak masuk akal waima ia berpunca dari pencemaran sumber air,” kata Setiausaha Agung Jaringan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia (Kagum), Iszuwan Ismail.

”Penubuhan badan bebas ini dapat menilai keupayaan pengurusan Air Selangor, di samping menilai tahap keupayaan infrastruktur sedia ada.

”Badan ini juga perlu membuat cadangan tambah baik bagi memastikan gangguan bekalan air tidak berlaku dengan kerap. Kerajaan negeri juga seharusnya melaksanakan langkah-langkah proaktif di dalam memastikan tahap infrastruktur air di Selangor sentiasa berada di tahap terbaik,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pencemaran di Sungai Selangor hingga mengakibat lebih 1 juta pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) terputus bekalan air.

Kejadian yang dikesan pada Isnin lalu adalah kali ketiga dalam tempoh dua bulan.

Iszuwan berkata, dua insiden yang melibatkan punca sumber air yang tercemar dan paip pecah pada bulan September dan Oktober ini benar-benar memberi kesan kepada pengguna terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat ini.

Untuk rekod, lebih 10 insiden gangguan bekalan air telah berlaku di sepanjang tahun 2020 ini.

Oleh itu Kagum berpendapat penempatan anggota keselamatan di sekitar lokasi punca sumber air dapat meminimumkan kecuaian para pengguna.

Di samping itu, Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri Selangor wajar mewartakan kawasan punca sumber air sebagai satu kawasan eksklusif dan tiada aktiviti ekonomi baik perindustrian atau perternakan dibenarkan dalam satu radius kawasan yang selamat.

Pihak kerajaan negeri seharusnya telah mula merangka sumber air alternatif kepada penduduk negeri Selangor sejajar dengan status sebuah negeri maju.

Jika di negara jiran, setiap tahun ada Pesta Air (Songkran Festival di Thailand, takkan di Selangor setiap bulan ada pesta tiada air yang perlu rakyat raikan, ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa yang telah dilakukan oleh Pakatan Hncing/DAP dalam pengurusan sumber2 air di Selangor?

    Adakah mereka hanya goyang kaki dan MAKAN GAJI BUTA sahaja?

Comments are closed.