SEOUL  – Sekurang-kurangnya 13 orang mati selepas menerima suntikan vaksin influenza sejak beberapa hari lalu.

Menurut laporan media tempatan, kejadian tersebut telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan vaksin-vaksin berkenaan meskipun pihak berkuasa menafikan ianya mempunyai kaitan dengan kes-kes kematian berkenaan.

Pihak berkuasa kesihatan pada Rabu berkata, mereka tidak bercadang untuk menggantung program vaksinisasi percuma kepada kira-kira 19 juta penduduk itu selepas siasatan awal kematian enam orang sebelum ini tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan vaksin berkenaan.

Jelasnya, tiada bahan toksik ditemui di dalam vaksin berkenaan dan sekurang-kurangnya lima daripada enam mangsa tersebut didapati mempunyai latar belakang kesihatan yang tidak baik.

Pegawai-pegawai kerajaan selepas itu melaporkan sembilan kematian selepas menerima suntikan vaksin influenza manakala agensi berita Yonhap melaporkan terdapat empat lagi kematian pada Khamis.

Kematian yang turut melibatkan seorang remaja berusia 17 tahun dan seorang lelaki berusia 70-an itu berlaku seminggu selepas program berkenaan disambung semula.

Sebelum itu, program imunisasi percuma untuk remaja dan warga emas itu digantung selama tiga minggu selepas lima juta dos vaksin yang sepatutnya diletakkan dalam tempat sejuk telah terdedah kepada suhu bilik semasa dalam proses penghantaran ke fasiliti kesihatan.

Vaksin Korea Selatan itu datang daripada pelbagai sumber termasuk pengeluar tempatan GC Pharma, SK Bioscience and Ilyang Pharmaceutical Co.

Terdapat juga vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat Perancis dan Britain seperti Sanofi dan Glaxosmithkline. – MalaysiaGazette