HONG KONG – Unit Asia Goldman Sachs Group Inc didenda sebanyak AS$ 350 juta oleh pengatur kewangan Hong Kong kerana peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bank Amerika Syarikat itu ‘diberi amaran’ kerana ‘kelemahan serius dan kekurangan dalam penyeliaan pengurusannya, risiko, pematuhan dan kawalan anti pencucian wang,” kata Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFC) dalam satu kenyataan.

Penerimaan Goldman Sachs Asia terhadap penemuan SFC dan tindakan tatatertib memudahkan penyelesaian awal ke atas masalah itu, katanya.

Goldman juga bersedia mencapai perjanjian yang ditunggu-tunggu dengan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) untuk membayar lebih daripada AS$ 2 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah mengenai peranan bank tersebut dalam skandal 1MDB, kata sumber kepada Bloomberg News.

Penyelesaian itu mengikut perjanjian Goldman Sachs dengan Malaysia Julai lalu, yang mana ia berjanji akan membayar sebanyak AS$ 2.5 bilion.

Bagaimanapun Malaysia menarik balik tuduhan jenayah terhadap entiti yang berpangkalan di New York pada awal September lalu.

Jurucakap Goldman yang berpusat di Hong Kong berkata, bank itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

Secara keseluruhan, Goldman Sachs mungkin terpaksa bayar kira-kira AS$ 5 bilion yang dipersetujui Malaysia, Jabatan Kehakiman dan agensi lain.

Penjualan bon itu mengumpulkan gabungan sebanyak AS$ 6.5 bilion dan diatur oleh Goldman Sachs International, sebuah unit yang berpusat di London.

Pengatur Hong Kong mengatakan hab kawalan Asia Goldman yang berpusat di bandar itu “mempunyai penglibatan yang signifikan dalam proses penciptaan, persetujuan, pelaksanaan dan penjualan ketiga-tiga penawaran bon 1MDB.”

Bank itu menerima 37% daripada jumlah pendapatan AS$ 567 juta yang dihasilkan daripada penawaran bon atau AS $ 210 juta, bahagian terbesar di antara pelbagai entiti Goldman, kata SFC. – MalaysiaGazette