ABU DHABI- International Petroleum Investment Co. (IPIC) menggugurkan saman terhadap Goldman Sachs Group Inc bagi mendapatkan semula kerugian yang dialami akibat urusniaga di antara bank pelaburan ternama itu dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Saman tersebut mendakwa Goldman telah berkonspirasi dengan individu-individu yang tidak dikenali dari Malaysia untuk merasuah bekas Pengarah Urusan IPIC, Khadem Abdulla al-Qubaisi dan bekas Ketua Pengarah Eksekutif Aabar, Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny bagi melanjutkan urusan perniagaan mereka.

Aabar adalah anak syarikat IPIC.

“Susulan perbincangan bersama, IPIC dengan ini menggugurkan saman terhadap Goldman Sachs berhubung isu-isu berkaitan 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

September lalu, Malaysia menggugurkan pertuduhan jenayah ke atas tiga anak syarikat Goldman selepas bank tersebut bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion bagi menutup siasatan.

Bank pelaburan berkenaan telah disiasat oleh badan pengawal selia di sekurang-kurangnya 14 negara termasuk Amerika Syarikat, Malaysia dan Singapura berhubung skandal 1MDB.-MalaysiaGazette