ASSAM – Tindakan seorang petugas kesihatan yang mengendalikan kes Covid-19 menari di dalam wad untuk memberi semangat dan mengembalikan keceriaan kepada para pesakit, tular di dalam media sosial di India.

Klip video yang merakamkan aksi doktor bernama Dr.Arup Senapati dengan memakai  Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) tular dalam twitter selepas dimuatnaik oleh  rakan setugasnya Dr. Syed Faizan Ahmad.

Dr. Arup berkhidmat sebagai doktor di negeri Assam lebih setahun lalu.

Dalam video itu, beliau menari dengan rentak muzik lagu Bollywood supaya pesakit-pesakit bersemangat melawan wabak tersebut.

Video yang tersebar ke seluruh negara telah ditonton seramai 5.3 juta orang.

Pelakon Bollywood, Hrithik Roshan turut memuji tindakan doktor itu yang bersungguh-sungguh mengambil berat pesakitnya.

Dr. Senapati dari Kolej Perubatan Silchar berkata, dia berbuat demikian semata-mata mahu pesakit Covid-19 sentiasa senyum dan bersemangat.

“Saya tidak jangkakan video itu boleh sampai kepada jutaan orang penonton.

“Selain merawat mereka, saya percaya pendekatan baharu seperti ini sekurang-kurangnya memberi senyuman dan keceriaan pada wajah pesakit i dalam wad hospital,” katanya.-MalaysiaGazette