Tertuduh, Angela Dewi Ganai Sannacy, 45, hadir ke mahkamah atas kesalahan merancang dan membunuh suaminya seorang Orang Kurang Upaya (OKU) di Mahkamah Majistret Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 OKTOBER 2020.

KAJANG – Seorang suri rumah dan adik lelakinya hari ini dituduh di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merancang dan membunuh suaminya yang cacat penglihatan pada awal Oktober lalu.

Kedua-dua tertuduh, Angela Dewi Ganai Sannacy, 45, dan adik kandungnya, Vijaya Ganai Sannacy, 42, mengangguk kepala sebagai memahami pertuduhan yang dibacakan serentak terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Kedua-dua suspek dibawa ke mahkamah dalam keadaan tangan bergari dan dihadapkan di kandang kena tuduh.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Muhammad Hairuliqram Hairuddin.

Mengikut caj pertuduhan, suri rumah dan adiknya dengan niat secara bersama sengaja telah membunuh Devarajoo Rengasamy, 59, pada 1 Oktober 2020 antara jam 12 tengahari hingga 1 tengahari.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah mangsa beralamat no,10, Blok A, Lorong Jati1, Jalan Jati , Rumah Murah PKNS, Kampung Baru Sungai Chua, Kajang.

Kedua-dua beradik itu dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Hairuliqram meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan serah dokumen.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli telah menetapkan 21 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Semalam MalaysiaGazette secara eksklusif melaporkan bahawa wanita itu bersama adiknya yang memiliki sebuah kedai besi buruk itu mengakui dalam keterangan polis bahawa pernah terlibat dalam percubaan sebanyak dua kali untuk membunuh mangsa pada September lalu.

Mangsa seorang pengsaha lori dan berharta bernilai lebih daripada RM2 juta termasuk perlindungan insurans bernilai lebih RM1.6 juta pada September lalu.

Mangsa dipukul dengan tukul besi di kepala sehingga parah dan tidak sedar diri sebelum dimasukkan ke rawatan Rapi (ICU) di Hospital Kajang sejurus kejadian pada 1 Oktoberlalu.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia pada 10 Oktober lalu sebelum kes diklasifikasika sebagai bunuh dan isterinya Angela Dewi ditahan sebelum mengakui perbuatannya bersubahat dengan adik demi memiliki harta simati yang beristeri dua. -MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Isteri didakwa subahat bunuh suami cacat penglihatan kerana harta