Petugas Sunway Medical Centre menggunakan cecair semburan selepas melakukan proses ujian saringan Covid-19 melalui Cov Shield kepada orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sunway Medical Centre, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 23 OKTOBER 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 710 kes baharu telah dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 24,514 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus itu adalah 8,416 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528 kes 74.4 peratus yang merupakan hasil usaha gigih dalam menjalankan pengesanan kes secara aktif di negeri itu.

Jelas beliau, mobilisasi petugas kesihatan telah membantu usaha saringan di lapangan dan juga rawatan perubatan serta aspek logistik dan penghantaran sampel juga ditambahbaik dan telah membantu usaha menjalankan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan lebih cepat.

“Negeri-negeri di Lembah Klang mencatatkan pertambahan sebanyak 73 kes iaitu 10.3 peratus dari jumlah keseluruhan kes. Daripada 73 kes baharu, 34 kes (46.6 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

“Untuk makluman, negeri-negeri ini dan juga negeri Sabah telah pun diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sejumlah 180 kes atau 25.4 peratus pada hari ini adalah daripada Kluster Penjara Kepayan (140 kes), Kluster Penjara Reman (39 kes), dan Kluster Tembok (1 kes).

“Sebanyak satu kes merupakan pengunjung yang pulang dari negeri Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September lalu adalah sebanyak 466 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, terdapat pertambahan 10 kes kematian berkaitan Covid-19 yang jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 214 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya, ia melibatkan Sabah sebanyak lapan kes manakala Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing satu kes.

Bilangan kes pulih pula jelas beliau adalah sebanyak 467 kes yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 15, 884 kes atau 64.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut beliau, pecahan kes yang telah pulih COVID-19 mengikut negeri tertinggi adalah Sabah sebanyak 246 kes;  Selangor (105 kes) dan Kedah (74 kes).

“Sehingga kini, terdapat 90 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – MalaysiaGazette