Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Sarawak bercadang mengeksport hidrogen hijau ke luar negara dengan mewujudkan kilang menghasilkan gas itu di Bintulu melalui kerjasama dengan dua syarikat Jepun.

Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan tiga pihak untuk membina loji berkenaan ditandatangani hari ini oleh anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) – SEDC Energy Sdn Bhd, Sumitomo Corporation dan Eneos.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyaksikan majlis penandatanganan MoU itu secara maya menerusi aplikasi Zoom berkata, Sarawak menyasarkan untuk memanfaatkan lebihan bahan mentahnya untuk menghasilkan hidrogen.

“Ini termasuk tarif elektrik murah yang dihasilkan empangan kami melalui hidrokuasa untuk mengeluarkan gas hidrogen dengan kaedah keberkesanan kos, yang mana sistem pengeluarannya adalah berdaya maju untuk mencapai kelestarian dalam jangka panjang,” katanya pada majlis itu.

Beliau berkata, ekonomi hidrogen bukan sahaja sebagai gimik promosi, malah, merupakan trend terkini untuk mendapatkan tenaga boleh baharu dalam kalangan negara maju seperti Kesatuan Eropah, China dan Amerika Syarikat.

“Pelaksanaan MoU antara SEDC, Sumitomo and Eneos pada hari ini, cukup sesuai berikutan kemudahan pengeluaran hidrogen berskala besar di Bintulu berupaya disiapkan dan bersedia menjelang 2023 untuk memenuhi keperluan pembeli berpotensi,” katanya.

Berikutan penggunaan kenderaan berkuasa hidrogen dijangka bertambah selepas ini, beliau berkata loji terkini itu adalah boleh skala dan seterusnya dikembangkan bagi penghasilan 10,000 tan setahun sekiranya perlu.

Memandangkan projek tersebut masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan, beliau berkata, terdapat perkembangan yang selanjutnya khususnya mengenai langkah pengurangan kos.

Sementara itu, Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain berkata, majlis penandatangan itu akan menandakan langkah penting untuk menentukan peranan pihak terlibat untuk mengkaji pembangunan cadangan membina loji itu di Taman Petrokimia Bintulu.

Beliau berkata, sebaik loji itu siap, ia berupaya mengeksport sifar karbon atau hidrogen hijau ke Jepun dan negara-negara lain berikutan perkongsian itu akan menjana pelaburan yang baik dan penciptaan pekerjaan di Sarawak.

“MoU yang ditandatangani itu turut mencerminkan strategi korporat SEDC untuk mempunyai pekongsi yang baik di seluruh dunia yang boleh menjadi aset penting dalam usaha perniagaannya untuk melangkah maju,” katanya. – Bernama