Taman Negara Kuala Tahan, Pahang

KUALA LUMPUR – Taman Negara Kuala Tahan, Pahang dan Sungai Relau, Merapoh, Lipis dibuka semula kepada orang ramai.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi notis yang dimuat naik di Facebok rasminya memaklumkan, hutan tropika itu sudah boleh dikunjungi semula.

“Pembukaan semula kawasan ekopelancongan di bawah seliaan Jabatan Perhilitan bermula 23 Oktober 2020 kepada pelawat.

“Senarai lokasi yang akan dibuka adalah Taman Negara Pahang, Kuala Tahan dan Taman Negara Pahang, Sungai Relau,” kata jabatan di laman sosial tersebut.

Melalui notis berkenaan, Perhilitan mengingatkan pengunjung agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diarahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Para pelawat juga harus mengamalkan dan membiasakan diri dengan normal baharu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19) .

“Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Penguasa Taman Negara Pahang, Kuala Tahan di talian 09-2661122 atau boleh menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151,” kata jabatan itu.

Arahan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan oleh Perhilitan pada 6 Oktober 2020 lalu, kali kedua selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac berikutan penularan pandemik Covid-19.

Berikutan itu, lebih 300 pengusaha ekopelancongan di situ terputus punca pendapatan dan meminta kerajaan membuka semula taman berkenaan.

Semalam, kerajaan negeri Pahang turut meminta Kerajaan Persekutuan khususnya Perhilitan dan Taman Negara supaya membuka semula operasi Taman Negara di kedua-dua laluan masuk iaitu Kuala Tahan dan Merapoh dengan segera.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penutupan pusat pelancongan terkemuka itu baru-baru ini akibat penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19 adalah tidak diperlukan.

Akibat arahan penutupan tersebut, pihaknya menerima rungutan daripada pengusaha-pengusaha aktiviti ekopelancongan di Taman Negara yang kehilangan punca pendapatan mereka. – MalaysiaGazette