Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan pengguna tidak perlu risau terhadap bekalan barang keperluan di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekelan bagi 12 barang-barang keperluan asas di peringkat runcit dan borong di negeri Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya didapati berada di tahap stabil.

Perniagaan di pasaran juga dilaporkan dalam keadaan terkawal dan tiada pembelian panik berlaku.

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan pengguna tidak perlu risau terhadap bekalan barang keperluan di sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Penguatkuasanya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan harian di seluruh negara bagi memastikan kedudukan bekalan sentiasa berada di pasaran dengan harga yang munasabah untuk memenuhi keperluan pengguna.

”Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut, Bahagian Penguat Kuasa, KPDNHEP Putrajaya telah mengeluarkan satu arahan kepada KPDNHEP Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menjalankan
pemeriksaan harian bagi memantau kedudukan bekalan barangan keperluan asas di negeri-negeri berkenaan.

”Pemantauan yang dijalankan di negeri-negeri tersebut bagi memantau tahap keberadaan bekalan ke atas 12 jenis barangan
keperluan harian pengguna di pasaran agar tindakan sewajarnya boleh diambil bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Barang-barang itu ialah gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, hand sanitiser dan pelitup muka.

Selain itu, kata Iskandar, pemantauan kedudukan bekalan (DDR) ke atas 510 peruncit terpilih daerah juga dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi menentukan kedudukan bekalan barangan di sesuatu kawasan.

Dalam 12 jenis barangan yang dipantau secara harian, hanya 7 barangan yang dipantau kedudukan bekalan melalui program DDR iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, telur, beras, roti dan ayam.

Kedudukan bekalan juga dipantau secara mingguan di peringkat borong melalui pemantauan di beberapa pemborong terpilih
daerah (DDW)] di negeri-negeri tersebut yang merangkumi 214 premis. Sebanyak tujuh barangan utama yang dipantau
iaitu gula, tepung gandum, minyak masak, telur, beras, gas petroleum cecair dan ayam. – MalaysiaGazette